56,096 penerima bantuan di seluruh Sarawak tahun ini

SERIAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak telah menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM67,314,880 kepada 56,096 orang penerima bantuan bulanan di seluruh Sarawak.

Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak YB Datuk Francis Harden Hollis berkata jumlah itu jumlah ini direkodkan dari Januari hingga April 2019.

“JKMS telah menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM67,314,880 kepada 56,096 orang penerima bantuan bulanan di seluruh Sarawak.

“Sementara itu, penerima sumbangan sempena Gawai dan Aidilfitri  di seluruh Sarawak pada tahun ini berjumlah 46,346 orang. Daripada jumlah itu, 31,535 orang penerima sempena Gawai dan 14,811 orang menerima sempena Aidilfitri.

“Manakala, Bahagian Serian pula mencatat 3,222 orang penerima bantuan sempena perayaan Gawai manakala 287 orang lagi sempena Aidilfitri pada tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Sejambak Kasih Gawai Raya dan Majlis Penyerahan Endowment Fund Sarawak 2019 di Nangan Budaya, Kampung Bunan Gega, Mongkos, semalam.

Pada hari ini, seramai 200 orang penerima hadir dan menerima bantuan ini daripada Datuk Francis Harden.

Tambah Datuk Francis Harden lagi, bermula dari Januari hingga April 2019, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching telah menyalurkan perbelanjaan sebanyak RM11,836,950 kepada 9,588 orang penerima bantuan bulanan.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup YB Maclaine Ben @ Martin Ben, wakil Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak Abu Bakar Bujang, Ketua Bahagian Pembangunan Awal Kanak-Kanak di Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Salina Bujang, Ketua Bahagian Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Serian, Residen Bahagian Serian Johnathan Lugoh dan Pegawai Daerah Tebedu Raymond Achen Kambeng.