Monday, December 5, 2022

Lesen PSV secara online hanya mudahkan satu pihak

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd (Big Blue Taxi) mempertikaikan hasrat Kementerian Pengangkutan (MoT) agar pemandu kenderaan e-hailing diberi kelonggaran untuk mengambil lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) secara dalam talian.

Penasihatnya Datuk Shamsubahrin Ismail berkata, pihaknya menggesa agar kementerian lebih telus dan bersikap adil memandangkan pemandu teksi sebelum ini perlu melalui proses secara ‘manual’ bagi mendapatkan lesen itu.

“Keputusan MoT berkaitan lesen PSV secara dalam talian ini amat mencabar industri teksi tanah air malah dilihat berat sebelah kerana mahu menyenangkan pihak Grab semata-mata,” katanya pada sidang media mengenai isu lesen PSV secara talian di sini, hari ini.

Jelasnya, Big Blue Taxi sendiri walaupun ditawarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengendalikan pusat latihan pemandu lesen PSV, tetapi mesti dijalankan secara manual termasuk mempunyai kelas.

“Kita nampak kebaikan pengambilan lesen PSV ini secara talian kerana mampu mengurangkan kos tetapi banyak perkara lain yang perlu diperhalusi. Paling utama, bagaimana kita boleh memastikan ujian itu diambil oleh pemandu e-hailing yang sebenarnya.

Gambar hiasan

“Malah, kami juga mendapat aduan ada kalangan pemandu e-hailing yang tidak tahu Bahasa Malaysia dengan baik dan bagaimana mereka mampu mengambil ujian ini secara dalam talian?” katanya.

Tambah Shamsubahrin, sekiranya kementerian tidak berhasrat menukar semula kepada perjanjian asal iaitu tiada pengambilan lesen PSV secara dalam talian MoT dicadangkan agar menghapuskan sahaja permit teksi dan membenarkan semua kereta persendirian dijadikan kenderaan e-hailing.

“Dengan ini, kita harap persaingan akan lebih adil memandangkan pemandu teksi sebelum ini perlu melalui prosedur mendapatkan lesen yang cukup ketat. Kita tak mahu lagi kementerian membuat u-turn yang akhirnya merugikan pemandu teksi dan secara tidak langsung membunuh industri ini,” katanya.

Shamsubahrin turut memberi tempoh 72 jam kepada Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook bagi menarik balik kelonggaran pengambilan lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV) kepada pemandu e-hailing.

Tegas beliau, jika tiada sebarang tindakan diambil oleh Anthony dalam isu itu pemandu teksi akan mengadakan bantahan besar-besaran di beberapa lokasi di ibu negara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Putrajaya dan Langkawi.

“Bantahan itu akan diatur dalam tempoh sebulan selepas Aidilfitri sebagai tanda rasa tidak puas hati pemandu teksi atas keputusan yang diambil oleh Anthony yang dilihat lebih memihak kepada pemandu Grab berbanding pemandu teksi di negara ini.

“Sebelum itu, saya akan hantar surat antaranya untuk bertemu dengan Ketua Polis Negara yang baharu dan Peguam Negara bagi merujuk akta-akta serta undang-undang dalam industri teksi. Setelah berjumpa dengan mereka, tarikh untuk bantahan itu akan diumumkan, saya akan kumpulkan semua pemandu teksi,” katanya.– BERNAMA

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru