KUCHING: Kerjasama ketiga-tiga etnik Iban, Bidayuh dan Orang Ulu serta penglibatan persatuan-persatuan yang berkaitan dalam penganjuran sambutan Hari Gawai Dayak peringkat negeri dan kebangsaan adalah sangat penting dalam memastikan ianya dianjurkan dengan teratur dan mengikut adat dan tradisi komuniti Dayak.

Pengerusi Sarawak Dayak National Union (SDNU), Tan Sri William Mawan Ikom berkata, sambutan yang dibuat secara giliran setiap tahun juga perlu mengekalkan adat dan norma setiap kaum bagi mengekalkan perpaduan kaum di negeri ini.

Jelas beliau, melalui cara itu perayaan Gawai Dayak akan dapat dilonjakkan ke peringkat yang lebih tinggi sekali gus memupuk semangat bekerjasama pelbagai kaum di sini.

“Ini adalah bagi mengelakkan salah guna atau kesilapan berkaitan adat protokol terutama berkaitan etnik masing-masing.

“Untuk rekod, penganjuran sambutan Hari Gawai Dayak peringkat negeri dan nasional hendaklah melalui kuasa kerajaan negeri,” katanya semasa merasmikan SDNU Gawai Bazaar di Christian Ecumenical Workship Centre (CEWC) semalam.

William Mawan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan menambah, penganjuran Gawai Dayak yang pernah diadakan di Kuala Lumpur sebelum ini turut melibatkan ketiga-tiga etnik tersebut dan bukannya hanya dimonopoli oleh etnik Iban.

Terdahulu, Timbalan Pengerusi SDNU merangkap Pengerusi Gawai Dayak SDNU 2019, Dr.Johnical Rayong Nyipa berkata, idea penganjuran Gawai Bazaar itu telah dicetuskan Pengerusi SDNU yang menggalakkan lebih ramai kaum Dayak untuk berniaga.