BETONG: Bahagian Betong tidak terlepas daripada menerima projek pembangunan di bawah pentadbiran Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Johari Tun Openg.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Kerajaan Sarawak nekad mahu membangunkan bahagian-bahagian di Sarawak seperti mana yang pernah dimaklumkan Ketua Menteri.

“Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri sedang rancak melaksanakan pembangunan sama ada menerusi kemudahan infrastruktur dan sosioekonomi.

“Sebelum ini, Ketua Menteri telah datang ke Spaoh dan merasmikan pecah tanah menara telekomunikasi dan bangunan baru Pejabat Daerah Kecil Spaoh.

“Pada November 2018 lepas semasa pembentangan Bajet 2019, Kerajaan Sarawak telah memperuntukan lebih RM11 bilion yang dikhususkan kepada pembangunan kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Sejambak Kasih Gawai Raya dan Majlis Penyerahan Endowment Fund Sarawak (EFS) 2019 Peringkat Bahagian Betong di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, semalam.

Mengenai majlis ini, Datuk Amar Douglas menjelaskan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak pernah melupakan kepada golongan yang kurang bernasib baik.

“Di sebalik kerancakan pembangunan yang kini dilaksanakan di negeri ini, Kerajaan Sarawak tidak pernah melupakan golongan yang kurang bernasib baik dengan memberi dan menyalurkan bantuan.

“Pada hari ini, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Kebajikan Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak menyalurkan bantuan bagi menyambut perayaan Gawai dan Aidilfitri yang disambut secara beriringan,” jelasnya.

Selain bantuan berupa kewangan, Kerajaan Sarawak turut menyediakan bantuan peluang tambah pendapatan dengan aktiviti pertanian.

“Kerajaan Sarawak juga menyediakan peluang tambah pendapatan dengan aktiviti seperti tanaman sayur, buah-buahan, pembuatan kuih muih dan lain-lain.

“Ini termasuklah memperkenalkan teknik pertanian moden seperti teknik tanaman fertigasi dan hidrophonic.

“Kerajaan Sarawak juga melalui agensi akan mengenal pasti pasaran bagi setiap produk. Industri ternakan kelulut juga adalah antara yang berpotensi diusahakan di kawasan ini dengan persekitaran yang sesuai,” tambahnya.

Di Betong, seramai 2,374 penerima bantuan Gawai dan 2,174 penerima menerima bantuan Aidilfitri pada tahun ini.

Hadir sama Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak YB Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah, Ahli Parlimen Betong YB Datuk Robert Lawson Chuat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) YB Mohd Razi @ Ricky bin Sitam, Timbalan Residen Bahagian Betong Abang Muhamed bin Abang Turkey, Pemangku Pengarah Jabatan Kebajikan Sarawak Joni bin Naruddin, Ketua-ketua Jabatan dan Ketua-ketua Kaum.