MIRI: Sepucuk pistol dipercayai digunakan suspek kejadian tembak-menembak yang menyebabkan dua cedera termasuk seorang anggota polis di Taman Jelita, Khamis lepas, ditemui petang semalam.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata hasil maklumat orang awam, pistol berwarna perak tersebut ditemukan dalam saluran paip tepi parit di kawasan Taman Jelita pada 2 petang namun nombor siri dipercayai dipadam.

“Pistol yang ditemui ialah jenis Walther model PPK buatan Jerman, satu kelopak pistol tertera tulisan Manurhin, PPK 7.65 buatan Perancis dan sebutir peluru hidup berwarna kuning tertera tulisan Thai Arms 380 Auto,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pistol tersebut adalah senjata api kedua ditemui selepas pistol pertama dirampas daripada salah seorang suspek yang berjaya ditangkap pada hari kejadian.

Dalam kejadian tembak-menembak pada Khamis, dua suspek perompak berjaya ditangkap polis namun seorang anggota polis Kpl William Bell Jol, 55, daripada Unit Peronda Kereta (MPV) Miri cedera pada lengan kiri.

Suspek lelaki berumur 50 tahun turut cedera pada kedua-dua belah kaki semasa kejadian dan seorang lagi suspek berumur 35 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Lim pada Ahad dilaporkan berkata polis masih memburu suspek ketiga dengan nama Ng Cheng Pui@Pui Kaw, 37, dengan alamat terakhir di Lot 411, Pujut Padang Kerbau, Miri.

Lim berkata suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan dianggap merbahaya kerana memiliki senjata api.

Beliau meminta orang awam yang mengetahui maklumat terkini mengenai suspek untuk menghubungi pegawai penyiasat ASP Unang Giang di talian 010-5937779 atau 085-433400.