Subsidi tiket RM300 ringankan beban pelajar IPT balik kampung di Sarawak

PUTRAJAYA: Subsidi RM300 kepada pelajar IPT dari Sarawak oleh Kerajaan Sarawak yang belajar di Sabah atau Semenanjung tentu dapat meringankan beban mereka membeli tiket penerbangan kembali ke kampung halaman pada perayaan Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri bulan depan.

Ketua Menteri mengumumkan berita gembira meneruskan subsidi RM300 sebanyak dua kali kepada pelajar terbabit.

Berucap di satu majlis di Kuala Lumpur, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyedari ada daripada pelajar berkenaan hasil perkahwinan campur masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

“Di Sarawak mempunyai banyak kahwin campur. Mungkin ayahnya Dayak dan ibunya Melayu. Kedua-duanya diraikan,” katanya.

“Secara tidak langsung subsidi berkenaan dapat membantu pelajar menyambut kedua-dua perayaan bersama-sama ibu dan bapa serta keluarga mereka,” katanya.

Subsidi berkenaan bertujuan meringankan beban pelajar terbabit membeli tiket penerbangan, bermula dari perayaan Tahun Baru Cina tahun ini.