KUCHING: Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg mengumumkan persetujuan Kerajaan Sarawak membiayai kos tiket kapal terbang untuk pelajar Sarawak balik ke Sarawak bagi merayakan sambutan perayaan Gawai dan Hari Raya Aidilfitri.

Pengumuman itu dibuat semasa berucap di Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak Sarawak di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

Menurut Ketua Menteri, dianggarkan 10,000 pelajar Sarawak kini menyambung pengajian dalam pelbagai jurusan di beberapa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di luar Sarawak.

“Seperti mana yang saya janjikan dalam Lan Berambeh tahun lepas, saya akan memberikan bantuan berupa tiket kapal terbang untuk pergi dan balik bagi merayakan perayaan Hari Raya Aidilfitri, Gawai dan Tahun Baru Cina.

“Tahun Baru Cina sebelum ini, kita telah memberikan bantuan kepada siswa dan siswi untuk pergi dan balik merayakan Tahun Baru Cina sebanyak RM300,” katanya.

Beliau turut mengumumkan bahawa setiap seorang diperuntukan sebanyak dua kali untuk dibiayai kos tiket kapal terbang.

“Setiap seorang diperuntukan sebanyak RM600 iaitu untuk dua kali. Kenapa dua? Ini kerana, kita di Sarawak ada mempunyai perkahwinan campur.

“Mungkin ayahnya Dayak dan ibunya Melayu. Jadi dia merayakan Gawai dan juga merayakan Hari Raya Aidilfitri.

“Juga, mungkin ada ibunya Cina dan ayahnya Melayu. Jadi, kita berikan dia RM300 untuk pergi dan balik untuk meraikan Tahun Baru Cina dan RM300 lagi untuk dia pergi dan balik meraikan Hari Raya Aidilfitri,” jelasnya.

Sehubungan itu, Datuk Patinggi Abang Johari menggesa pelajar-pelajar yang masih belum membuat tempahan tiket kapal terbang untuk balik merayakan Gawai dan Hari Raya Aidilfitri segeralah berbuat demikian.

“Jadi, sesiapa yang masih belum membuat tempahan tiket kapal terbang untuk balik merayakan Gawai dan Hari Raya Aidilfitri, tempahlah sekarang.

“Berilah resit tempahan itu kepada Sarawak Volunteer dan Yayasan Sarawak. Kita akan bayar kepada anda.

“Pada tahun ini kita dapat membiayai kos penerbangan pelajar-pelajar Sarawak disebabkan ekonomi negeri kita baik, kita bersatu hidup kita selesa dan ekonomi kita tersusun,” ujarnya.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak YB Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Morshidi Abdul Ghani, Menteri-menteri dan Menteri Muda-menteri muda.