KUALA LUMPUR: Polis masih menyiasat hubungan antara Ketua Jururawat Hospital Serdang Siti Kharina Mohd Kamarudin dengan tiga suspek pembunuhannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmad berkata pihaknya telah mengambil keterangan pemilik rumah sewa Siti Kharina, 40, di Cyberjaya, yang merupakan lokasi mayatnya ditemui, bagi membantu siasatan.

“Pihak kami masih siasat sejauh mana hubungan mangsa dengan suspek iaitu dua lelaki masing-masing rakyat Nigeria dan Pakistan serta seorang wanita Nigeria. Siasatan turut melibatkan pemilik rumah sewa berkenaan yang diambil keterangannya.

“Semua yang terlibat dalam membantu siasatan kita ambil kira, ia siasatan yang menyeluruh yang sesiapa sahaja yang berkaitan dengan kes ini, pihak kami akan merekodkan percakapan mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Terdahulu, pihak polis mengesahkan bahawa ketiga-tiga suspek mengenali antara satu sama lain.

Hari ini, polis mengesahkan bahawa kematian Siti Kharina adalah akibat luka hirisan di leher.

Punca kematian mangsa, diperoleh hasil bedah siasat terhadap mayat wanita itu yang dijalankan semalam.

Semalam, Siti Kharina dijumpai dibunuh di unit kondominium yang disewanya di Cyberjaya dengan kesan kelar di dada, leher dan kepala.

Berikutan itu, polis telah menahan tiga individu disyaki terlibat dengan kes itu dan lelaki warga Nigeria berkenaan hari ini direman selama tujuh hari.