KUCHING: Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 Bil 2/2019 yang diadakan di Putrajaya semalam berjalan lancar dan positif.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek) YB Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata perjalanan mesyuarat berjalan lancar dalam suasana yang selesa.

“Mesyuarat berjalan lancar dan positif tetapi perlu diperhalusi lagi dan perbincangan akan terus dijalankan,” katanya menerusi pesanan Whatapps.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang itu lagi mesyuarat itu perlu diperhaluskan lagi dan beberapa siri perbincangan akan diadakan bagi mencapai keputusan positif antara pihak berkaitan.

Semalam, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Johari Tun Datuk Abang Openg menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet (PEMANDU) untuk menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 Bil 2/2019.

Pada mesyuarat itu, difahamkan Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Johari membawa usul yang telah diluluskan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak lalu yang meminta Kerajaan Persekutuan meneliti semula Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Selain Ketua Menteri, Sabah yang diwakili Ketua Menterinya YB Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan pegawai tertinggi berkaitan.

Mesyuarat tersebut telah diadakan di Bilik Mesyuarat Perdana, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini merupakan mesyuarat kali kedua selepas mesyuarat pertama telah diadakan pada tahun lepas.

Hadir sama Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Timbalan Speaker Datuk Gerawat Gala dan Peguam Besar Negeri Sarawak Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid.