SEOUL: Korea Selatan akan menyalurkan bantuan kemanusian sebanyak US$8 juta kepada Korea Utara menerusi pertubuhan antarabangsa, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan kementerian penyatuan pada Jumaat.

Kementerian itu berkata kerajaan telah memutuskan untuk menyalurkan peruntukan itu menerusi projek bantuan kemanusiaan pertubuhan antarabangsa seperti Program Makanan Sedunia (WFP) dan Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), untuk bayi dan wanita hamil di Korea Utara.

Sumbangan itu akan dibuat dengan syarat Korea Selatan meneruskan bantuan kemanusiaan kepada Korea Utara tanpa mengira keadaan politik di negara itu.

Kerajaan Korea Selatan pimpinan Presiden Moon Jae In pada 2017 telah mengumumkan satu pelan untuk menyalurkan bantuan itu kepada Korea Utara namun dihentikan susulan sekatan yang dikenakan ke atas negara komunis itu.

Kali terakhir Korea Selatan menyalurkan bantuan makanan kepada Korea Utara ialah pada 2010 yang menyaksikan sebanyak 5,000 tan beras dihantar ke negara itu.

Kementerian itu berkata kerajaan Korea Selatan akan mengkaji semula pelan bantuan makanan yang konkrit untuk Korea Utara, seperti bantuan langsung atau tidak langsung menerusi pertubuhan antarabangsa selepas mengumpul pendapat umum. – Bernama