PENAMPANG: Cita-cita ‘murni’ seorang penjenayah untuk membuka sebuah premis telefon dan gajet elektronik terpakai dengan hasil barangan curi, akhirnya berkecai apabila suspek dicekup bersama dua lagi rakan sejenayahnya dalam kejadian di Penampang, baru-baru ini.

Suspek lelaki berusia 30-an bersama dua rakannya, masing-masing berusia 40-an, ditahan pada 8 Mei lalu di beberapa kawasan berasingan termasuk Donggongon dan Kobusak, Penampang, selepas disyaki terlibat secara langsung dengan aktiviti pecah rumah.

Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Haris Ibrahim berkata, suspek tersebut dipercayai cuba menjalankan aktiviti perniagaan menjual barangan elektronik seperti telefon bimbit dan gajet terpakai, hasil daripada barangan dicuri oleh kumpulan tersebut.

“Ketika tangkapan itu dibuat, terdapat kira-kira 31 telefon bimbit dan komputer riba, dan kita tengah menyiasat serta mengenalpasti pemiliknya, selain kes rampasan ini.

“Ini kerana, kita dapat maklumat bahawa suspek menerima harta curi, mungkin daripada pelbagai sumber rakan sejenayah yang lain, dan dia (suspek) didapati berhasrat untuk membuka kedai telefon bimbit,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, di sini hari ini.

Antara barangan yang berjaya dirampas. - Astro AWANI
Antara barangan yang berjaya dirampas.
Mengulas lanjut, Haris berkata, trio jenayah lelaki yang dikenali sebagai Geng Carlsteen itu dikatakan aktif dalam kegiatan pecah rumah di sekitar Penampang dan Putatan sejak awal Mac lalu dan terbaru, mereka dikatakan memecah masuk sebuah rumah ibadat di Millenium, Penampang pada 20  April lalu.
Jelasnya, selain daripada telefon bimbit dan gajet elektronik, antara barangan rampasan yang berjaya ditemukan dalam tangkapan suspek adalah gitar elektronik, piano dan alat pembesar suara.
Tambah beliau,  jumlah keseluruhan nilai rampasan kes adalah bernilai RM16,500.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.