KUCHING: Sebanyak 8,000 sumbangan berbentuk kuih muih telah diagihkan kepada pasukan keselamatan dan penguatkuasaan sempena Perayaan Hari Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri dan sebagai menghargai jasa mereka dalam menjaga keamanan Negeri sepanjang masa.

Menteri Kebajikan Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Hajjah Fatimah Abdullah berkata, program ini merupakan majlis pengiktirafan dan penghargaan kepada pasukan keselamatan serta agensi penguatkuasaan atas khidmat bakti yang telah dicurahkan melalui tindakan, penguatkuasaan demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan negara.

Tambahnya, diharap sumbangan ini dapat menyemarakkan lagi suasana perayaan di tempat bertugas walaupun berjauhan dari keluarga.

Dalam majlis yang sama, beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan GPS akan sentiasa komited dalam meneruskan lagi sumbangan terutama pada musim perayaan seperti Pemberian Sumbangsih ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemberian Sumbangsih, di Dewan Bukavu, Kem Penrissen Kuching, hari ini.

Menyentuh soal penurunan kuasa, tegas beliau, pihak mereka masih lagi berunding dan belum mempunyai apa-apa keputusan lagi.

Jelasnya tiga perkara seperti sahsiah , kewangan dan undang-undang perlu dilihat semula selain dari berunding dan mendapat persetujuan bersama.

Menurutnya, dalam perkara penurunan kuasa ini ia bukan sahaja melibatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat malah ianya juga melibatkan beberapa jabatan yang lain.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Upacara Pemberian Sumbangsih.

Justeru beliau berharap rundingan MA63 akan berjalan dengan lancar agar penurunan kuasa dapat dilaksanakan.