KUCHING: Kira-kira 2,000 umat Islam dijangka hadir di Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak yang akan diadakan di Bahagian Mukah pada 21 Mei 2019.

Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Haji Misnu Haji Taha berkata, sambutan Nuzul Al-Quran pada tahun ini bertemakan “Kesatuan Ummah Membawa Rahmat”.

Menurut beliau, majlis akan dihadiri oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Raghad Kurdi Taib

Hadir sama Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Abang Openg serta isteri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Tambahnya lagi, program akan dimulakan dengan bacaan Yassin dan penyerahan sumbangan kepada masjid dan surau diteruskan dengan solat Maghrib berjemaah dan majlis makan malam.

Selain itu juga, program khas Tazkirah Nuzul Al-Quran disampaikan Mufti Negeri, Datu Kipli Yassin selepas solat Isyak berjemaah dan amanat daripada Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg sebelum menunaikan solat sunat terawih.

Program-program sampingan seperti ceramah khas dan Forum Perdana juga turut diadakan di sekitar Mukah.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak 2019 di Bangunan Komplek Islam Sarawak Kuching hari ini.

Justeru, beliau menyeru umat Islam di kawasan berdekatan dan juga luar kawasan Mukah untuk sama-sama hadir memeriahkan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran itu nanti.