Dari segi sejarah,  pada zaman kerajaan Srivijaya-Majapahit,  kawasan yang diduduki oleh peribumi Melanau, seperti kawasan lain di Sarawak,  pernah ditakluki dan diperintah oleh kerajaan Majapahit.

Malah, Brunei juga berada di bawah kuasa kerjaan Majapahit, sebelum muncul sebagai sebuah kesultanan yang agung pada abad ke-16.

Menjelang abad ke-14,  Brunei hanya bangkit sebagai sebuah kerajaan awal di kepulauan, sesudah kejatuhan empayar Majapahit.  Kemerosotan pengaruh dan kejatuhan kerajaan Majapahit memungkinkan Brunei untuk memperluas pengaruhnya.

Langkah straegik yang praktikal adalah dengan menakluki wilayah dan daerah yang berdekatan, termasuk wilayah yang dikuasai oleh kaum Melanau.

Kawasan pesisir pantai ditakluki oleh Kesultanan Brunei pada sekitar abad ke-14.  Sebenarnya, mengikut Salasilah Raja-Raja Brunei, hubungan Melanau dengan Brunei telah terjalin sejak pemerintahan Sultan Islam Brunei yang pertama, iaitu Awang Alak Batatar (Sultan Mohammad).

Foto: Sarawak Cultural Village – WordPress.com

Ketika di bawah kekuasaan Brunei, pemimpin Melanau telah diwajibkan menghantar ufti berbentuk emas dan sagu kepada sultan setiap tahun.  Mengikut Silsilah Raja-Raja Brunei:

…bermula ada pun  persembah perahu, bangun ‘adanya pada setahun-setahun2, dari Kalaka dua buah dan dari Saribas dua buah dan dari Serawak sebuah, dari Sabangan dan Sadong sebuah, serta dengan upetinya padi yang dipupun daripada dia, Kalaka dan Saribas dan Serawak dan Sabangan dan Sadong, dan apabila ia mampu, emas ketanah Melanau semuanya setalah ia. Dan ada pun Melanau yang mengeluarkan upeti emas dari benua (W-yh-a/Oya?) hingga benua Rajang. Ada pun yang berupeti sagu, benua Mukah, dan meminta di jejenang dan pedagang dari Berunai. Dan bermula apabila Kalaka ke Berunai, membawa upeti emas dari Melanau serta dibawa padi upeti Sebuyau emas ratus/pasu, dan kapas upeti Batang Lupar tiga bahara dan upeti Sikarong sebahara, dan upeti bumi yang beruupeti b.w.t dan pinta’pintaan daripada…(Sweeney 1968: 25).

Ternyata bahawa sagu begitu penting dan menjadi tanaman dan keluaran utama kawasan Mukah sejak zaman pemerintahan Brunei lagi. Dapat diagak bahawa disebabkan kepentingan tanaman itu, terdapat galakan daripada pihak Kesultanan Brunei agar para penduduk Melanau menanam pokok rumbia.

Sagu menjadi tanaman penting kepada pemerintahan dan penduduk Brunei. Sagu tetap penting bagi kaum Melanau, malah sagu hampir sinonim dengan kaum Melanau.

Dengan keteguhan ekonomi dan kekuatan ketenteraannya, Brunei mampu memperluas kawasan taklukannya, apatah lagi Brunei mempunyai pelabuhan dagang dan mempunyai hasil ekonomi yang membanggakan.

Kawasan dari Tanjung Kidurong hinggalah Kuala Rajang,  kawasan kediaman Melanau turut ditakluki oleh Brunei dari abad ke-14 hinggalah dikuasai oleh Rajah Brooke pada 1861.

Terdapat kawasan yang berhampiran dengan laut seperti Paloh, Rajang, Belawai, Matu, Daro, Igan, Oya, Mukah, dan Bintulu. Manakala pusat penempatan yang agak di pedalaman adalah seperti Dalat, Kut, Narub, Balingian, dan Tatau.

Berbanding dengan kawasan dan wilayah yang ditaklukinya, pada abad ke-16 Brunei sudah muncul sebagai negara yang mempunyai organisasi masyarakat yang teratur dan lebih kompleks sifatnya daripada masyarakat ‘pagan’ di Borneo (Sabihah et al, 1995: 5). Hakikat ini perlu mempunyai implikasi dan kesan terhadap komuniti yang ditaklukinya.

Sejak penguasaan Kesultanan Brunei, hubungan politik dengan kawasan Melanau dilakukan secara formal.   Selain daripada hubungan politik dan pentadbiran, terdapat juga hubungan dalam bidang-bidang lain, terutama sosial, budaya, dan ekonomi.

Di bawah sistem pentadbiran Brunei, kawasan taklukannya biasanya dibahagikan kepada wilayah atau daerah; sistem yang sebenarnya telah diperkenalkan sejak abad ke-13.

Wilayah yang ditakluki itu memberikan sumbangan penting dari segi hasil. Tanah yang dikuasai itu penting sebagai sumber kehidupan dan sebagai asas kekuasaan  politik.

Berkaitan dengan tanah dan rakyat, biasanya pemilikan dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu Kerajaan, Kuripan, dan Tulin atau Pusaka.

Bagi setiap wilayah di bawah tadbirannya, Sultan Brunei telah melantik wakil yang dikenali sebagai pengiran. Di kawasan kediaman komuniti Melanau, wakil sultan tersebut berada di muara sungai seperti Mukah, Oya, Bintulu, dan sebagainya.

Dapat dikatakan bahawa daerah Mukah tergolong sebagai wilayah kuripan dan tulin. Kehadiran wakil tersebut penting kerana tidak mungkin bagi Sultan Brunei untuk mentadbir dan memerintah kawasan yang terletak jauh, dengan berkesan.

Bagi kawasan Melanau, wakil sultan bertanggungjawab untuk memastikan hasil  pendapatan daripada perniagaan sagu dikutip dengan berkesan.

Sagu merupakan antara produk penting dalam ekonomi Brunei pada waktu itu. Kawasan Mukah dan Oya menjadi kawasan penting bagi Kesultanan Brunei kerana kedudukannya yang strategik,  iaitu terletak di muara sungai, selain sumbangan daripada hasil sagu yang menjadi produk penting dalam perniagaan pada waktu itu.

Tambahan pula, kawasan tersebut lebih mudah dikawal kerana kedudukannya yang berdekatan dengan laut.

Pangeran yang mewakili sultan terdiri daripada golongan bangsawan Brunei dan kerabat diraja.

Golongan ini diberikan tanggungjawab untuk mentadbirkan wilayah yang telah diamanahkan, dengan harapan keadaan keselamatan terjaga dan kutipan cukai berjalan dengan lancar.  Pengutipan cukai yang berkenan amat penting bagi memastikan kedudukan ekonominya kukuh.

Sultan Brunei ingin memastikan bahawa sebahagian daripada hasil cukai yang dikutip oleh pangeran disalurkan ke perbendaharaannya. Namun, golongan Pangeran yang menjadi ketua di wilayah berkenaan dipantau oleh pembesar-pembesar Brunei meskipun hakikatnya, mereka mempunyai kuasa penuh terhadap wilayah yang dikuasai.

Sebenarnya, meskipun begitu berpengaruh di kawasan berdekatan pantai atau pesisiran dan muara sungai, namun ‘kawalan politik terhadap kawasan di hulu sungai adalah minimal’ (Morris, 1994).

Meskipun demikian, memandangkan wakil sultan mengawal dan menguasai muara sungai, secara langsung, hal ini bermakna dia turut mempunyai pengaruh yang besar terhadap segala urusan di kawasan itu, terutama aktiviti perniagaan.

Pengaruh pangeran terhadap kawasan hulu sungai adalah secara tidak langsung, iaitu dengan mengawal laluan perniagaan. Satu lagi tanggungjawab penting yang dimainkan oleh wakil sultan pada zaman pemerintahan Sultan Brunei ke-9 pada akhir kurun ke-16 ialah sebagai orang tengah untuk antara baginda dengan rakyat.

Sebagai orang tengah, beliau bertanggungjawab untuk menyampaikan dasar, peraturan dan maklumat daripada pemerintah kepada rakyat di bawah kekuasaannya.

Dengan kuasa yang dimilikinya, serta pengiktirafan oleh Sultan Brunei, wakil tersebut sudah tentu dipandang tinggi oleh masyarakat di bawah kekuasaannya.

Profesor Madya Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik dan pensyarah di Universiti Malaysia Sarawak yang banyak membuat kajian dan menerbitkan tulisan tentang masyarakat Melanau.