KUCHING: Kesemua ahli Parlimen GPS sudah mengisytiharkan harta mereka kepada Pejabat Ketua Menteri Sarawak.

Ketua Whip Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) YB Dato Sri Fadillah Yusof berkata senarai itu akan dihantar serentak kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk semakan termasuk Pusat Antirasuah Nasional dan Integriti Governan (GIACC).

“Kini, Kerajaan Sarawak masih menunggu format yang ditetapkan GIACC dan SPRM,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Kerajaan Sarawak menyambut baik saranan GIACC seperti yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya semua menteri, timbalan menteri dan anggota pentadbiran kementerian termasuk ahli parlimen pembangkang mengisytiharkan harta mereka kepada SPRM.

Menurut Dato Sri Fadillah, ianya selaras dengan inisiatif Kerajaan Sarawak sebagai pihak pertama yang menandatangani ikrar Bebas Rasuah (IBR) dengan SPRM pada Januari 2017.

“Sarawak sudah bergerak ke arah itu dan telah mendapat pengiktirafan SPRM apabila semua anggota kabinet Sarawak menjadi negeri pertama yang menandatangani IBR pada Januari 2017.

“Ketua Menteri juga telah mengarahkan Ahli-ahli Parlimen GPS untuk turut mengisytiharkan harta,” tambahnya.

Secara peribadi, jelas Dato Sri Fadillah lagi beliau memandang serius isu memerangi rasuah ini.

Ini katanya, semasa menerajui Kementerian Kerja Raya (KKR) pada 2013, langkah pertama yang diambil ialah menandatangani memorendum persefahaman ke arah pembanterasan rasuah bersama SPRM.

“Langkah itu yang dilaksanakan pada 1 Julai 2013 telah menjadikan KKR sebagai kementerian pertama di Malaysia menandatangani ‘Integrity Pact’ dengan SPRM.

“Ini membuktikan kita dalam GPS sentiasa memandang serius isu rasuah dan salah guna kuasa serta menyokong sebarang usaha ke arah membanterasnya hingga ke akar umbi,” katanya.