Dalam dunia politik, ketegasan seorang pemimpin amat diperlukan untuk menghadapi apa-apa situasi sukar dalam membuat keputusan yang berkaitan dengan kepentingan rakyat dan parti politik.

Kadangkala seorang pemimpin perlu membuat keputusan yang membuat beliau dan pimpinannya tidak popular demi kebaikan semua pada masa hadapan.

Malahan, pemimpin yang tegas juga akan sentiasa memastikan orang ramai akan sentiasa menyokong serta mengikut keputusan beliau.

Memetik Margaret Thatcher bekas Perdana Menteri UK “Don’t follow the crowd, let the crowd follow you.” Kenyataan ini amat signifikan dalam ketegasan untuk membuat keputusan pemimpin.

Sebelum ini, istilah mesra BN digunakan oleh UPP yang kini dikenali sebagai PSB dilihat akan terus membelenggu politik Sarawak semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 nanti sekiranya perkara ini tidak diselesaikan dengan sebaik-baiknya.

Persoalannya, sampai bilakah polemik begini dibiarkan berlegar dalam politik Sarawak?
Adakah politik mesra BN ataupun sekarang dikenali dengan mesra GPS ini merupakan strategi politik? Sama-sama kita merenung persoalan ini.

Minggu lepas, semasa di temu bual oleh salah satu akhbar tempatan di Sarawak, Presiden PRS Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing menyuarakan bahawa GPS perlu mengeluarkan semua pemimpin PSB yang menyertai barisan kabinet kerajaan negeri Sarawak secepat yang boleh.

Tuntutan presiden PRS ini amat bertepatan dengan semangat sebagai sebuah gabungan parti politik dalam GPS.

Kepemimpinan GPS yang diketuai Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg harus bertindak sekiranya ingin betul-betul menyelesaikan kemelut politik yang daripada dahulu membelenggu politik Sarawak. Keputusan tegas harus diambil untuk memastikan keharmonian dalam GPS.

PSB harus dikeluarkan daripada spektrum politik GPS sekiranya PSB tidak dapat diterima masuk menyertai GPS oleh parti-parti komponen dalam GPS.

Kepemimpinan GPS harus membuat keputusan tegas berkaitan dengan PSB ini demi menjaga keharmonian serta konsep perkongsian kuasa dalam GPS.

PSB harus dikeluarkan daripada bayang-bayang GPS. GPS tetap kekal teguh atau lebih teguh tanpa dibayangi oleh PSB.

PSB yang mendakwa mendapat sokongan rakyat di akar umbi hanya bermain dengan politik persepsi.

Dalam konteks politik pada masa kini, kehadiran hadirin di majlis yang dianjurkan oleh parti politik tidak dapat dijadikan mekanisme untuk menilai tahap sokongan terhadap parti-parti tertentu.

Apatah lagi sekiranya majlis tersebut turut diserikan dengan persembahan artis-artis popular tempatan sudah pasti akan menarik minat orang ramai untuk menghadiri majlis tersebut.
Kehebatan bermain dengan persepsi rakyat tidak akan membawa kebaikan kepada proses demokrasi dalam negara kita.

Realitinya, GPS perlu membuat keputusan dengan mengeluarkan PSB daripada spektrum politik GPS.

Sesetengah pemimpin dalam PSB tidak lagi berpengaruh di peringkat akar umbi. Sekiranya GPS memilih calon yang tepat sudah pasti dapat memberi tentangan serta memenangi kerusi yang ditandingi oleh PSB.

Apa yang penting keikhlasan dalam membela nasib rakyat harus diutamakan.

Dengarkan rintihan serta keluh kesah rakyat serta berusaha untuk memberi penyelesaian kepada rakyat. Sudah pasti GPS tetap dipilih oleh rakyat nanti.

PSB sudah pasti takut sekiranya GPS bertindak menyatakan tidak menyokong PSB yang dilihat bermain dengan persepsi bahawa mereka mesra kerajaan negeri.

Cukup-cukuplah berpolitik mesra-mesra begini. Jangan jadikan politik ‘mesra’ ini sebagai jambatan atau tali hayat dalam memastikan diri terus berkuasa.

Semoga selepas perayaan Hari Gawai dan Hari Raya nanti, GPS membuat keputusan tepat seperti yang diminta oleh presiden PRS.

Penulis ialah penganalisis politik serta pensyarah dalam bidang sains politik di Universiti Malaysia Sarawak.