KUCHING: Sekadar bermain politik bagi pihak Putrajaya berbanding berjuang demi kepentingan Sarawak khasnya kawasan Puncak Borneo.

Itulah kenyataan Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar terhadap wakil rakyat PH, Willie Mongin yang mencabar beliau mengemukakan cadangan menyeluruh untuk Sarawak berkaitan kuasa autonomi kesihatan dan pendidikan.

“Kalau Willie dapat memberi jaminan Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan cadangan asal Ketua Menteri bahawa Sarawak diberi hak autonomi pendidikan dan kesihatan termasuk dana serta sumber manusia, barulah Kerajaan Sarawak akan membuat perincian,” katanya.

Bekas menteri persekutuan itu berkata, beliau memahami kejahilan Willie berhubung prosedur kerajaan kerana dia tidak pernah berada dalam kabinet untuk memahami bagaimana kerajaan berfungsi.

Tetapi, soal beliau, “sejauh mana jaminan ahli parlimen seperti Willie dapat dipercayai.”

Apatah lagi, katanya, banyak janji yang tidak mampu ditunaikan dalam manifesto PRU-14 oleh PH.

Susulan itu, populariti PH dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjunam mengikut dapatan kajian badan bebas, Merdeka Center, baru-baru ini.