KUCHING: Apa yang bermain di kepala seorang remaja perempuan sehingga mengambil keputusan untuk meminta netizen membuat pengundian ‘hidup’ atau ‘mati’, sukar difahami.

Yang jelas remaja itu tertekan dan apabila 69  peratus mengundi ‘mati’, maka akhirnya dia membuat keputusan yang sukar dijangkau oleh akal normal.

Remaja itu akhirnya terjun dari tingkat tiga bangunan rumah kedai di MJC Batu Kawa di sini, malam kelmarin.

Adakah yang mengundi kini puas hati? Adakah yang mengundi menyokong tindakan supaya remaja itu juga kurang waras?

Siapa yang lebih tidak waras?

Mangsa, 16 tahun, masih lagi pada usia kanak-kanak jika mengikut undang-undang, meminta undian dalam Instagram dengan status “Really important. Help me choose D?L yang bermaksud mati atau hidup.

Ia dimuat naik sekitar jam 3 petang.

Remaja itu nekad membunuh diri selepas hanya 31 peratus yang mengundi hidup dan 69 peratus bagai menggalakkannya mencabut nyawa sendiri dengan mengundi mati.

Remaja itu ternyata dalam emosi yang bergelora dan tertekan, dan sewajarnya mereka yang normal dan tidak tertekan, membantu, dan bukannya mendorong remaja itu melakukan sesuatu yang salah.

Mangsa juga memuat naik status di Facebook; Saya sudah letih hidup dan mahu mati – Wanna Quit Life. I’m tired.

Menurut Ketua Polis Daerah Pedawan Supt Aidil Bolhassan, tragedi itu disedari adik lelaki mangsa pada jam 8 malam ketika dalam perjalanan pulang ke rumah sewa mereka selepas makan bersama-sama ibunya.

Mangsa didapati terlentang di atas jalan dalam keadaan berlumuran darah dan dipercayai cedera parah di kepala.

Aidil berkata, tindakan mangsa membunuh diri dipercayai kerana kerana kecewa dengan bapa tiri yang bekerja di Singapura jarang-jarang pulang ke Kuching selepas berkahwin dengan wanita Vietnam.