LUNDU: Peruntukan yang disalurkan menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi projek pembinaan dan naik taraf infrastruktur asas terutama di luar bandar membuktikan kerajaan Sarawak mengambil berat kepentingan rakyat di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.3 Tanjung Datu, Datuk Amar Hajah Jamilah Anu berkata, pelbagai bentuk pembangunan di kawasan tersebut sudah dinikmati oleh penduduk menerusi pembangunan yang diberikan kerajaan negeri.

Jelas beliau, beberapa projek pembinaan dewan di Kampung Belungei, Kampung Pandan dan Kampung Rambungan telah siap, manakala dewan di Kampung Sungai Cina akan dibina tidak lama lagi.

“Saya yakin RTP yang diperkenalkan bekas Ketua Menteri (Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem) telah banyak membantu kami sebagai wakil rakyat dengan mempercepatkan lagi pembangunan di kawasan kami.

“Secara dasarnya meskipun penduduk tidak mendapat manfaat dalam bentuk kewangan secara langsung, namun pelbagai faedah terutama dalam bentuk pembangunan kemudahan asas dirasai,” katanya sempena sambutan Hari Ibu Tanjung Datu dan Majlis Berbuka Puasa di Dewan Kampung Belungei, semalam.

Dalam perkembangan lain, Datuk Amar Jamilah berharap, penduduk di Tanjung Datu supaya bertindak sebagai mata dan telinga bagi kerajaan negeri dalam usaha memastikan setiap projek yang dilaksanakan di kawasan berkenaan berjalan lancar.

“Kita mahu setiap projek yang dilaksanakan di Tanjung Datu siap dalam tempoh ditetapkan memandangkan keperluan rakyat adalah keutamaan kita,” jelasnya.