BIASANYA saya bertolak dari rumah di Petrajaya  menuju ke tempat saya bertugas, Universiti Malaysia Sarawak sekitar jam 5.45 pagi. Ada rakan saya bertanya, mengapa saya harus bertolak terlalu awal?

Mereka hanya perlu mengharungi perjalanan dari Kuching ke Kota Samarahan sekitar pukul 7 pagi untuk mengetahui sebab saya berbuat demikian.

Saya lebih rela bertolak awal daripada terperangkap satu jam lebih dalam kesesakan lalu lintas. Kereta yang dicekik kesesakan dengan perjalanan amat perlahan sesuatu yang membosankan dan menyeksakan.

Bayangkan sahaja, jika anda berada di jalan raya selama sejam setengah pada sebelah pagi dan sejam setengah lagi pada sebelah petang, bermakna, dalam sehari anda berada di dalam kereta selama tiga jam. Berapa jamkah anda bazirkan di atas jalan raya dalam sebulan dan setahun?

Apa jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah cekikan lalu lintas di laluan Kuching Kota Samarahan? Kerajaan punya beberapa alternatif, termasuk membina sistem aliran ringan (LRT).

Juga, jalan alternatif ke beberapa arah dari Kota Sentosa dan Kota Samarahan, selain membina terowong di Stutong. Ini bermaksud kerajaan perlu membina beberapa jambatan baharu merentangi Sungai Sarawak. Ingat, Seoul ada 22 jambatan merentangi Sungai Han.

Saya biasanya dapat melihat kesesakan yang teruk di sepanjang jalan pada waktu puncak sebelah pagi dan petang. Malah, kadangkala kesesakan pada petang Jumaat, lagi teruk, sehingga jam 8.00 malam.

Mula-mula saya hairan, tetapi akhirnya saya mengerti. Puncanya, kerana mereka dari luar Kuching, sejauh Asajaya, Serian, dan Sri Aman balik ke Kuching untuk cuti hujung minggu.

Saya pernah terperangkap selama dua jam dalam kesesakan ketika balik ke rumah di Petrajaya.

Memang, kesesakan berkenaan tidak dapat disamakan dengan kesesakan di Bangkok dan Jakarta.

Anda hanya perlu ke Jakarta dan mengalami kesesakan teruk di kota 12 juta jiwa itu. Saya pernah berada di dalam kereta selama lima jam untuk menuju ke destinasi tujuh kilometer.

Berada di dalam kereta selama sejam lebih untuk bandar raya seperti Kuching, adalah sesuatu yang melampau. Kita bukan saja membazir masa, keletihan dan tertekan, tetapi menjadi tidak produktif.

Saya tidak pasti berapa kerugian kita setahun dari segi produktiviti dan belanja untuk minyak hanya kerana kesesakan berkenaan?

Memandu kereta atau menaiki kenderaan awam dengan selesa, tentu menjadi idaman semua orang.

Jadi, mereka yang tidak mengalami betapa teruknya masalah dialami pengguna jalan raya terbabit di Samarahan, Serian dan Kuching tentu tidak mengerti dan melontarkan kritikan tidak berasas.

Ada yang kata tidak masuk akal, tidak berbaloi kerana kos yang begitu tinggi, dan ada juga yang kata, penduduk Kuching terlalu kecil.

Ya, penduduk Kuching sekarang sekitar 750,000 dan pasti akan berkembang menjadi sejuta dalam tempoh terdekat. Kita tidak perlu menunggu sehingga penduduknya lima juta untuk mempunyai LRT.

Saya sekadar mahu mengingatkan mereka ini supaya menjelajah dunia untuk membuka mata mereka, betapa banyak daripada bandar dan bandar raya yang penduduknya kurang daripada 300,000 mempunyai LRT, termasuk di Australia, Amerika Syarikat, Perancis, Jerman dan Algeria. Malah, ada bandar yang hanya mempunyai 150,000 juga mempunyai LRT.

Sekurang-kurangnya tersdapat 115 buah bandar di dunia ketika ini yang hanya ada 300,000 penduduk mempunyai LRT.

Sejak sistem transit aliran yang pertama – London Underground dibina pada 1863, sistem ini dengan pantas tersebar ke serata bandar lain di Eropah, dan kemudian ke Amerika Syarikat.

Pemimpin yang berwawasan perlu berani melakukan sesuatu yang baik untuk rakyat dan masa depan negeri.

Saya percaya Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg seorang yang dapat melihat ke masa depan, bukannya lima tahun, tetapi  melangkaui 100 tahun ke depan.

Kalaulah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tunduk kepada kritikan, dan menyerah kalah dek kritikan pemimpin DAP pada dasawarsa 80-an dan 90-an, tentu kini kita tidak punya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Menara Berkembar Petronas dan Lebuh Raya Utara-Selatan.

Mereka mengkritik pada waktu itu  dengan mengatakan bahawa projek mega berkenaan membuang duit dan tidak masuk akal, maka tidak patut dilaksanakan.

Sekarang, saya percaya, orang seperti Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, pengkritik tegar waktu itu, terpaksa menelan air liur basi mereka sendiri kerana ternyata projek berkenaan membawa banyak faedah.

Mereka yang buta mata dan buta hati sahaja menafikan kehebatan projek berkenaan dan bagaimana ia membawa keuntungan langsung dan tidak langsung kepada negara. Ia juga membuktikan pandangan jauh atau wawasan Tun Mahathir.

Jadi, sementara kritikan itu baik, namun kritikan tidak harus menyebabkan Abang Johari menyerah kalah jika beliau fikirkan, sesudah kajian mendalam dan perbincangan objektif dan profesional, membuktikan bahawa LRT dengan kos RM5 bilion itu baik untuk rakyat.

Mungkin untuk jangka waktu singkat, rakyat tidak dapat melihat keuntungan dan kesan positif LRT dari Pantai Damai ke Kota Samarahan itu nanti.

Tetapi percayalah, projek yang dijalankan dengan justifikasi kuat, dengan rakyat menjadi keutamaan, serta dilaksanakan dengan ikhlas, pasti akan mendatangkan hasil berbaloi.

Lagipun, LRT ini juga bakal digunakan oleh mereka dari seluruh negara, termasuk pelajar dari luar bandar Sarawak.

Kalau kesan limpahan sosioekonomi kepada kawasan terbabit diambil kira tentu kita faham akan keperluan LRT itu. Ingat, kini di Samarahan, ada tiga institusi penting – Unimas, UiTM, IPG Tun Razak, dengan jumlah pelajar sekitar 22,000.

Melihat ke hadapan, Samarahan dipercayai menjadi tumpuan pemaju perumahan untuk membina lebih banyak rumah pada masa depan. Implikasinya, jumlah penduduk akan meningkat berkali ganda dalam lima tahun atau sepuluh tahun akan datang.

Persoalannya, adakah kita perlu menyerah kalah hanya kerana kritikan yang tidak berasas? Adakah kita perlu menunggu keadaan menjadi lebih sesak dan teruk sebelum melaksanakan LRT?  Kita perlu belajar daripada kearifan orang tua, jangan sudah terantuk barulah hendak tengadah.

Penulis ialah pensyarah dan penganalisis politik di Universiti Malaysia Sarawak.