ALOR SETAR: Seorang lelaki berusia 40-an maut disyaki dipukul tiga lelaki dalam satu kejadian di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin berkata pihak polis mendapat maklumat tentang kematian itu daripada pegawai perubatan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini menerusi panggilan telefon pada 6.45 petang selepas membuat pemeriksaan ke atas lelaki itu.

Beliau berkata sebelum itu menurut saksi kejadian yang merupakan adik ipar lelaki berkenaan mengatakan mangsa dihantar tiga lelaki dikenali ke rumah di Jalan Telok Wanjah Market Koboi di sini pada 1.30 tengah hari dan ketika itu mangsa berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Salah seorang suspek telah mengikat kedua-dua belah tangan serta kaki mangsa atas kerusi dengan kuat serta menampar muka lelaki itu dan mengugut saksi dan ibunya supaya jangan buka ikatan tersebut.

“Setelah suspek beredar, saksi terus membuka ikatan lelaki tersebut dan pada lebih kurang 4 petang, ambulans datang ke rumah dan bawa mangsa ke HSB untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Rozi berkata seorang daripada suspek itu sudah berjaya ditahan polis manakala baki dua lagi sedang diburu dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dengan motif kejadian masih dalam siasatan lanjut.