Saturday, August 20, 2022

Kemenangan PRK Sandakan Sabah

Secara Rawak

PRK Sandakan memberikan realiti naratif politik mengenai factor etniksiti menentukan kemenangan pilihan raya.  Terdapat 40, 218 pengundi, iaitu peningkatan 400 undi jumlah pengundi layak mengundi pada kali ini.

Daripada jumlah pengundi tersebut, terdapat  51 peratus merupakan pengundi Cina manakala 45 peratus pula pengundi bumiputera Islam.  Selebihnya bumiputera lain. Pengundi wanita mewakili 49.48 peratus atau seramai 19,857 pengundi manakala pengundi wanita mewakili 50.52 peratus, iaitu seramai 20,274.

Namun begitu, jumlah yang turun mengundi hanyalah sebanyak 54.44 peratus.  Kemenangan ini milik Pakatan Harapan apabila Vivian Wong, 30, daripada DAP mendapat 16,012 manakala pesakit dekatnya Linda Tsen (PBS),63 cuma mendapat 4,491. Seterusnya  bebas, iaitu Hamzah Abdullah, 65, mendapat 788 manakala Sulaiman Abdul Samat,36, mendapat 126 undi, Chia Siew Yung, 46 mendapat 178 dan ini akan mengakibatkan calon bebas ini hilang wang deposit. Terdapat 234 pula undi rosak.

Pada PRK ini DAP memenangi kesemua 17 pusat daerah mengundi dan terdapat peningkatan undi.  Pada PRU ke 14, ayah Vivian hanya mendapat 67.97 peratus undi dan 10,098 majoriti, tetapi kali ini Vivian mendapat pertambahan peratusan apabila mendapat 74.18 peratusan undi dan 11,531 majoriti. Di kawasan bumiputera Islam terdapat peningkat ketara jumlah undi beralih kepada Pakatan Harapan.

Peningkatan ini berlaku apabila  Shafie Apdal Ketua Menteri Sabah yang dilabel Bossku Sabah berjaya menepis populariti Bossku Najib Razak yang turut turun berkempen di Sandakan.  Hal ini bermakna walaupun Najib Razak dianggap popular dengan gelaran apa malu Bossku, namun di PRK Sandakan, dikerumuni oleh rakyat bukan bermakna ia menandakan sokongan, tetapi rakyat Sandakan sekadar ingin melihat wajah Najib Razak selepas tidak lagi menjadi Perdana Menteri dan sedang dibicarakan di mahkamah.

Kempen 14 hari yang berlangsung disertai  blok Gabungan Kerajaan Negeri iaitu Parti Warisan Sabah, Pakatan Harapan dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO). Buat pertama kali blok ini menyertai PRK di Sabah.

Blok pembangkang pula diketuai oleh Parti Bersatu Sabah dan dibantu oleh UMNO dan PAS. Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin  pernah mengumumkan bahawa akan menggerakkan 9,700 ahli Umno untuk mmenyokong dan mengundi PBS. Ini bermakna dengan undi bumiputera muslim seramai tersebut dan disertai undi bukan bumiputera 5000 hingga 6000 ribu ia membolehkan PBS memenangi PRK Sandakan.

Namun ini tidak berlaku pada PRK ini, sebaliknya hanya tidak sampai 5000 undi diperoleh oleh calon  PBS Datuk Linda Tsen Thau Lin yang pernah menjadi ahli parlimen Batu Sapi dan kini Ketua Bahagian PBS Elopura namun tewas pada PRU 2018. Pengundi Sandakan terdiri daripada orang-orang Melayu, Cina, Kadazandusun dan suku-suku lain seperti kaum Bajau, Murut, Sungai, Bugis, Suluk dan sebagainya.

Di tengah isu-isu nasional termasuk kegagalan Pakatan Harapan menunaikan kesemua manifesto pilihan raya umum, pengundi di Sandakan masih memberikan kepercayaan kepada PH.  Ini bermakna walaupun rakyat mengeluh akan isu kenaikan harga barang, kos keperluan semakin meningkat, kejatuhan harga minyak sawit, isu petani dan nelayan tempatan, pengundi di Sabah terus memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan.

Adakah sokongan  ini disebabkan oleh pengumuman kelulusan peruntukan berjumlah RM2.28 bilion bagi 49 projek pembangunan di Sandakan  sebagaimana dikempenkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ketika berkempen? Sedangkan banyak lagi manifesto tidak tertunai kerana masalah  kekurangan dana kewangan.

Foto: Bernama

Isu-isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPN) misalnya belum lagi dapat diselesaikan dan ini mengecewakan golongan anak muda. Ini bermakna kerjasama pembangkang di Sabah masih lagi tidak begitu kuat dan erat. Anak muda pula kurang turun mengundi kerana protes namun ini menguntungkan PH kerana tidak dibantah secara demokrasi dengan cara turun mengundi. Saluran 1 dan 2  orang undi dewasa lebih ramai menyokong PH kini.

Keputusan PRK ini memperlihatkan majoriti undi diperoleh Vivian sebanyak 11,521 meningkat 1,423 undi. Mendiang ayahnya Stephen Wong hanya memperoleh 10,098 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14. Pada PRU 2018,  mendiang Stephen Wong menang apabila mendapat 19,094 undi berbanding lawannya, Datuk Lim Ming Hoo mendapat 8,996 undi.

Gabungan Parti Sarawak di Sarawak perlu melihat kemenangan PRK Sandakan ini  sebagai amaran merah terutama di kawasan pengundi yang terdapat pengundi Cina melebihi 30 peratus. Malah di kawasan bumiputera sekali pun tidak boleh memandang mudah keupayaan Pakatan Harapan untuk menembusi kubu-kubu kuat  kawasan GPS. Kerja lebih kuat lagi perlu dibuat kerana kuasa pusat kini ialah PH dan Sarawak dianggap negeri minoriti dari segi kekuasaan politik dan bila-bila masa boleh terjejas akibat serangan politik Pakatan Harapan.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight. 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru