AIR tebu segar yang di sejukkan di dalam peti sejuk atau ditambah ais ketul sememangnya cukup enak dinikmati lebih-lebih lagi ketika cuaca panas seperti sekarang ini.

Namun begitu, dalam bulan puasa sebegini air tebu yang mencabar naluri orang berpuasa ini menjadi santapan mata terlebih dahulu sehingga tibanya waktu berbuka puasa.

Di Kabong, Wahab Hussien, 46, adalah antara pengusaha jualan air tebu segar sejak lebih 10 tahun lalu.

Di gerai tepi jalan di Kampung Wawasan Kabong dia menjalankan operasi jualan dengan dibantu isterinya bagi memudahkan urusan jualan dengan pelanggan yang tidak putus-putus datang untuk mendapatkan air tebu di gerai kecilnya sehinggalah air tebu habis terjual.

Bekalan batang tebu segar dibeli Wahab dari Kampung Semarang dan Beladin selain dari pekebun di Kabong sendiri.

Tebu-tebu ini dibeli dengan harga 50 sen sekilogram daripada pekebun tempatan yang kemudiannya diangkut dengan van ataupun lori kecil ke kediamannya untuk diproses.

Proses yang perlu dilalui adalah batang tebu dari ladang terlebih dahulu dicuci dan dikikis batangnya
bagi membuang kotoran pada batangnya. Kemudian selepas dikikis batang tebu perlu dibasuh bersih sebelum dimasukkan ke mesin pengapit tebu untuk mendapatkan air tebu segar dan manis.

Sewaktu air tebu baru keluar dari mesin warnanya agak cerah. Namun seketika kemudian air tebu itu mula bertukar kepada warna hijau gelap.

Untuk sebotol air tebu dengan kapasiti muatan seliter setengah dijual dengan harga RM4. 00. Ini antara harga air tebu terendah berbanding tempat lain.

Dalam sehari sebanyak 80 ke 100 botol mampu dia hasilkan dengan perniagaannya bermula dari jam 2 petang dan berakhir jam 4. 30 ataupun 5 petang ketika bulan puasa . Ini pun bergantung kepada jumlah stok tebu yang ada.

Menurut Wahab dia tidak mampu menjual lebih banyak air tebu kerana tidak ada pembantu untuk urusan membersih dan mengikis batang tebu yang agak memakan masa.

Kerja-kerja itu katanya dia lakukan sendirian sebaik pulang dari berniaga dan kerja itu terpaksa dilakukannya sehingga lewat malam bagi memastikan dia ada tebu untuk dijual pada keesokkan harinya.

Menurut Wahab cuaca panas ketika ini menyebabkan jualannya laris lebih-lebih lagi air tebu yang dihasilkannya sangat asli kerana tidak bercampur air.

Wahab bersyukur jualannya mendapat sambutan dan berharap beliau dapat membuat persiapan Hari Raya tahun ini dengan lebih baik.