KUCHING: Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.

Segalanya sudah terlambat bak nasi sudah menjadi bubur bagi seorang penganggur berusia 25 tahun dari Kampung Tupong Tengah di sini.

Walaupun dia merayu dan mengaku menyesal di mahkamah, namun rayuan itu sudah tidak bermakna lagi.

Tindakannya merompak menggunakan senjata menyebabkan mahkamah mendapati dia bersalah dan akhirnya dipenjara selama 25 tahun.

Lelaki berkenaan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen terhadap kes rompakan mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata dapat menyebabkan kematian mengikut Seksyen 6(1) Akta bahan Letupan dan Senjata Bahaya 1958.

Bagi kesalahan pertama di hadapan Hakim Marutin Pagan, tertuduh dikenakan lapan tahun penjara dan lima sebatan rotan kerana merompak wang tunai RM700 bersenjatakan sebilah kerambit di kedai runcit 24 jam di Matang Jaya pada 4 pagi, 16 Ogos tahun lalu.

Dia juga dijatuhkan hukuman 10 tahun penjara dan empat sebatan setelah mengaku bersalah merompak wang tunai RM960 dari sebuah kedai runcit 24 jam di batu 4, Jalan Penrissen di sini, jam 4.16 pagi, 29 Ogos tahun lalu bersama-sama seorang yang masih bebas.

Di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Nohd Taufik Mohd, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan empat sebatan setelah mengaku bersalah merompak seorang pekerja kedai 24 jam bersenjatakan sebilah parang dan mengambil wang tunai RM500 pada 4.30 pagi di sebuah kedai di Jalan Matang di sini, 31 Mac lalu.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azhari Mohd Yusof, Ruthra Raj dan Nurfadlin Mahmad Zulhasnan.