GEORGE TOWN: Kementerian Kementerian dan Industri Asas Tani kini memberi tumpuan membangunkan industri akuakultur dalam usaha mengurangkan kebergantungan negara terhadap bekalan ikan yang ditangkap.

Timbalan Menteri berkenaan Sim Tze Tzin berkata Malaysia kini menghadapi masalah sumber perikanan yang berkurangan ekoran peningkatan permintaan terhadap bekalan ikan berikutan pertambahan jumlah penduduk.

Beliau berkata sungguhpun buat masa sekarang negara masih mencapai 90 peratus tahap kemampuan bekalan ikan namun sesetengah jenis ikan diimport dari negara jiran.

“Secara umumnya bekalan ikan bagi rakyat Malaysia masih mencukupi dengan ada yang ditangkap dan ada yang diternak tetapi untuk masa hadapan kita perlu membangunkan industri akuakultur sehingga kebergantungan terhadap ikan yang ditangkap dan yang diternak mencapai tahap 50-50,” katanya kepada pemberita selepas melawat World Fish Centre di sini, sebuah organisasi penyelidikan mengenai perikanan dan akuakultur.

Beliau menambah buat masa sekarang kebergantungan ikan di Malaysia ialah pada tahap 70 peratus ikan yang ditangkap dan 30 peratus daripada industri akuakultur.

Sim berkata bagi Pulau Pinang ia telahpun mencapai nisbah 50-50 bagi ikan yang ditangkap dan ikan akuakultur.

“Saya telah melawat beberapa perusahaan akuakultur di sini dan saya rasa ia merupakan peluang perniagaan yang bagus untuk generasi muda melibatkan diri bagi membina masa depan yang lebih baik,”katanya.

Beliau berkata Jabatan Perikanan ada menawarkan beberapa program laitihan seperti program latihan perintis bagi penternakan ikan dan nasihat teknikal kepada semua pihak yang berminat dalam sektor akuakultur.

Bagaimanapun, Sim yang juga Anggota Parlimen Bayan Baru, berkata terdapat beberapa masalah yang perlu ditangani seperti mengenal pasti lokasi sesuai bagi akuakultur, masalah pencemaran industri, harga makanan ikan yang tinggi dan penyakit dalam akuakultur.

“Itulah sebabnya mengapa negara ini perlu bekerjasama dengan lebih banyak NGO seperti World Fish bagi mencari jalan penyelesaian terhadap semua masalah tersebut,” katanya. — BERNAMA