SATU daripada kegemaran saya ketika melancong di luar negara ialah mengunjungi kediaman warga kota yang tinggal di atas kubur.

Baik di Manila, Mesir, Surabaya atau Phnom Penh, yang segera muncul di kepala kita ialah, bagaimana ada manusia yang begitu terdesak tidak lagi peduli dengan keadaan sekitar.

Mereka sanggup tinggal di atas kubur bersama-sama orang mati.

Indonesia memang negara yang unik budayanya. Di Tana Toraja misalnya, menjadi budaya untuk tinggal bersama-sama mayat di dalam rumah untuk bertahun-tahun. Mereka menganggap perkara itu sebagai biasa, malah si mati dihidangkan dengan makanan dan diberi rokok atau minuman setiap hari.

Bayangkan juga anda tinggal di daerah yang penuh pemakaman yang dikelilingi batu nisan dan keranda setiap hari?

Kampung Peneleh di Surabaya  unik dengan banyaknya makam di dalam kampung tersebut.  Boleh dikatakan setiap gang atau lorong kecil di dalam kampung terdapat makam.  

Di Doeum Sleng, Phnom Penh, Kemboja, ada juga mereka yang tinggal di atas kuburan.

Doeum Sleng – Youtube

Sekitar 500 keluarga tinggal Doeum Sleng, sebuah perkampungan perkuburan di ibu kota Kemboja. Perkampungan yang sama juga wujud di beberapa perkuburan lain di ibu kota berkenaan bagi menampung mereka yang tidak mempunyai rumah.

Di Mesir dikatakan, sekurang-kurangnya tiga juta orang penduduk tinggal di atas kuburan.

Baru-baru ini saya sempat juga mengunjungi kediaman di atas kubur di Kaherah.

Kisah kampung di atas kubur di Manila tentu menarik. Beberapa tahun lalu, saya juga sempat ke sana. Ini bukan untuk mereka yang pengecut atau lemah bulu.

Bayangkan anda tinggal di tengah-tengah tulang –temulang, tengkorak, keranda dan bau yang menyengat?

Di perkampungan di atas kubur terbesar di Manila, ada yang sudah tinggal di sana sejak 1966. Anda hanya perlu mengunjungi Kompleks Permukiman Navotyas City untuk melihat betapa teruknya keadaan di situ.

Kompleks Permukiman Navotyas City

Anda tentu akan menggeleng-gelengkan kepala menyaksikan sendiri kedaifan hidup warga berkenaan yang tidak punya pilihan. Masyarakat miskin dari wilayah yang miskin di Filipina, terpaksa menjadikan kuburan sebagai permukiman atau tempat kediaman.

Pada awalnya difahamkan tidak banyak yang tinggal di situ, tetapi tahun demi tahun jumlahnya semakin meningkat.

Mereka terpaksa menyesuaikan diri, bukan saja hidup dengan persekitaran yang membingungkan dan menyedihkan, tetapi juga dengan orang yang mati. Orang mati walau tidak lagi ada nyawa masih perlu dihormati.

Anda mungkin tertanya-tanya mengapa mereka sanggup tinggal di situ? Tidak takutkah mereka?

Kalaupun tidak takut, dapatkah mereka tahan dengan mau daripada mayat dan tulang yang begitu menyengat?

Bagi golongan marhaen dan gelandangan, punya tempat untuk tinggal sudah lebih daripada memadai dan patut disyukuri. Apatah lagi Manila dengan jumlah penduduk 13 juta yang sesak dan haru-biru.

Kanak-akanak kelihatan tidak takut, malah berlari-lari dan bermain dengan tengkorak dan tulang yang dikeluarkan daripada keranda selepas beberapa tahun.

Ada tengkorak dan tulang yang dimasukkan di dalam karung, tetapi tidak kurang juga yang bersepahan. Bagi mereka yang tidak tahan, pasti akan muntah di situ juga.  

Namun, anda perlu belajar untuk bertahan ketika mengunjungi tempat sedemikian Anda perlu punya perasaan dan mental kuat. Melihat nasib mereka yang hidup di atas kubur satu hal, dan melihat nasib orang mati juga satu hal lagi.

Mayat lain perlu dimasukkan ke dalam lubang dan keranda berkenaan. Ada pekerja yang melakukannya untuk mendapatkan wang.

Manila merupakan antara kota dunia yang sibuk dan sesak. Mereka dari luar bandar banyak berhijrah ke situ untuk mencari sesuap nasi.

Tetapi sesampai di ibu kota itu, mereka berdepan realiti, tiada pekerjaan dan tempat tinggal. Maka, jalan keluar ialah tinggal di kubur berkenaan yang kini dianggarkan dihuni sekitar 7,000 orang daripada 700 keluarga.

Di perkuburuan berkenaan dianggarkan terdapat sejuta orang sudah dikuburkan.  Bayangkan, terdapat sekitar 100 orang mati setiap hari dan dikuburkan di situ. Mengurus sejumlah orang mati sedemikian bukannya mudah, apatah lagi mengurus mereka yang hidup.

Namun, mereka tidak kisah orang mati, dan orang mati pun kelihatan tidak kisah dengan mereka.

Mereka yang tinggal di kuburan berkenaan melakukan pelbagai pekerjaan, termasuk membuat batu nisan dan mengeluarkan menggali kubur. Ada yang menjual bunga. Tidak kurang juga yang menjadi kupu-kupu malam dan menjadi pengedar dadah.

Bagi penggali kubur yang turut mengeluarkan tulang-temulang dan tengkorak, yang penting, dia perlu memohon maaf sebelum mengeluarkan tulang dan tengkorak dari lubang berkenaan.  

Kubur disewa untuk tempoh lima tahun, dan jika keluarga tidak sanggup membayar sewa, tulang digali untuk memberi tempat kepada mayat lain.

Mereka tidur, memasak, mencuci pakaian, malah membuat anak di atas kubur, tanpa mempedulikan mereka di bawah kubur. Mereka tidak takut kepada hantu, malah bagi mereka tidak wujud hantu di kawasan terbabit.

Mereka lebih takut kepada pihak polis yang menyerbu kawasan itu kerana ia menjadi tempat persembunyian penagih dan pengedar dadah

“Saya tinggal di sini sejak 1980. Saya tidak perlu bayar sewa. Saya dibayar sekitar 50 peso untuk menggali kubur bayi, dan 160 peso untuk orang dewasa. Mula-mula dulu memang saya berasa geli dan sering mengigau waktu malam,” kata seorang penggali yang sudah saya lupa akan namanya.

“Nak takut apa, akhirnya kita ke sini juga,” katanya sedikit berfalsafah.

“Tak ada hantu di sini. Saya tak percaya ada hantu di sini kerana saya tak pernah nampak hantu,” katanya.

“Yang ada penagih dadah. Saya perlu berhati-hati supaya tidak menimbulkan kemarahan si mati. Saya akan memohon maaf,” katanya.