MIRI: Peniaga tidak pamer tanda harga serta mengaut keuntungan keterlaluan adalah kesalahan yang sering dilakukan oleh peniaga di Sarawak dalam tempoh Jan hingga Mei tahun ini

Timbalan Pengarah pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak Mohammad Hanizam Kechek berkata, kesalahan itu paling banyak dilakukan peniaga berdasarkan statistik dari 1 Jan sehingga 5 Mei lepas yang mencatatkan 301 kes melibatkan rampasan berjumlah RM52,233.90 dan kompaun berjumlah RM36,150 dibawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Secara keseluruhan dalam tempoh yang sama 27,041 premis perniagaan telah diperiksa di Sarawak dan dari jumlah itu 538 kes dikenakan tindakan dengan jumlah kompaun dikutip berjumlah RM74,150 dan rampasan bernilai RM6.3 juta dibawah pelbagai akta,” katanya kepada pemberita selepas melakukan operasi memeriksa tanda harga Bazar Ramadan di tapak letak kereta Stadium Tertutup Miri hari ini.

Mengenai operasi di Bazar Ramadan, beliau berkata, tindakan penguatkuasaan akan dikenakan kepada peniaga bazar Ramadan yang tidak mempamerkan tanda harga mulai minggu depan.

“Untuk minggu pertama hanya amaran akan diberikan dan mulai minggu kedua bulan Ramadan peniaga yang tidak mempamerkan harga barang akan dikenakan tindakan undang-undang iaitu denda RM100,000 maksimun atau penjara tiga tahun,”katanya lagi.

— BERNAMA