Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang belum sampai setahun penubuhannya kini giat dalam aktiviti menyantuni rakyat Sarawak terutama di luar bandar.

GPS sudah lama bergerak di akar umbi bagi mempromosikan jenama serta logonya terutama penduduk di luar bandar.

Tindakan GPS dilihat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 yang dijangka diadakan tahun hadapan ataupun 2021.

GPS yang terbentuk setelah peristiwa bersejarah tercipta dalam kamus politik Malaysia apabila Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara selama 61 tahun kecundang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 Mei tahun lepas. Keputusan keempat-empat parti kompenen BN untuk keluar daripada gabungan dalam BN dilihat amat signifikan setelah parti-parti tempatan ini membentuk GPS yang membawa suara semua anak Sarawak.

GPS terdiri daripada empat komponen parti tempatan di Sarawak iaitu PBB, PRS, SUPP dan PDP.

Hampir genap setahun Pakatan Harapan (PH) sebagai parti yang memerintah peringkat persekutuan, namun di negeri Sarawak belum ada tindakan serta gerak kerja yang nyata dilakukan PH untuk memecahkan kubu kuat GPS di Sarawak.

Melihat senario politik sekarang, GPS masih kelihatan sebagai sebuah parti pilihan rakyat Sarawak pada PRN ke-12 nanti.

GPS kelihatan lebih agresif dalam merencanakan strategi memastikan mereka terus kekal memerintah setelah PRN ke-12 diadakan nanti. Hampir keseluruhan pelosok negeri Sarawak sudah dijelajah GPS.

Namun begitu, peringatan Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkenaan masyarakat di luar bandar perlu diperjelaskan tentang kewujudan GPS amat signifikan demi memastikan rakyat di luar bandar faham serta jelas dengan perjuangan GPS.

Jelas beliau, ahli-ahli GPS harus memperjelaskan secara terperinci tentang hala tuju GPS yang menggantikan perjuangan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Kerisauan beliau berkenaan dengan rakyat akan tertanya-tanya berkenaan dengan GPS apabila tiba PRN nanti ada merit kerana sesebuah parti politik perlu memastikan rakyat faham berkenaan dengan perjuangan parti dan yang paling utama rakyat mengetahui logo parti. Ini kerana logo parti akan tertera di kertas undi semasa pilihan raya dijalankan.

Kehadiran Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang dahulu dikenali dengan nama UPP sedikit sebanyak telah memberi tekanan kepada beberapa parti komponen GPS iaitu PRS, SUPP dan PDP.  Sebenarnya. PSB duri dalam daging bagi GPS. Justeru, tindakan sewajarnya perlu diambil dengan mencabut duri berkenaan.

PSB yang secara terang-terangan mengatakan yang mereka menyokong perjuangan GPS yang dipimpin oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, dan pada masa yang sama telah mengganggu-gugat kerusi yang dimiliki oleh parti komponen dalam GPS.

Jelas di sini, PSB telah bertindak untuk memastikan parti itu  akan mencuba nasib di DUN yang ditandingi oleh PRS dan SUPP. Persoalannya, kenapa PSB bertindak begini? Adakah PSB parti tempatan yang boleh dipercayai? Persoalan ini perlu dirungkai.

GPS terus bergerak di akar umbi bagi memastikan mereka terus kekal diterima oleh rakyat Sarawak walaupun mendapat tentangan daripada parti lain seperti PSB dan PH dalam PRN ke-12 nanti.

Realitinya, untuk terus memastikan keharmonian dalam GPS, kepimpinan GPS perlu bertindak untuk menyelesaikan isu PSB yang nyata boleh memporak-perandakan parti komponen dalam GPS terutama PSB dan SUPP.

Polemik ini perlu diselesaikan sebelum PRN ke-12 bagi menjamin GPS dapat terus memerintah negeri Sarawak.

Sekiranya isu ini tidak dapat diselesaikan ia pasti menyebabkan penolakan rakyat terhadap GPS sekali dengan PSB.

Polemik ini akan memberi merit kepada PH di Sarawak yang dipimpin anak tempatan di Sarawak.

Tidak mustahil rakyat yang jemu dengan politik yang cacamarba akan mendukung perjuangan PH di Sarawak semasa PRN ke – 12 nanti.

Oleh itu, dalam aktif menyantuni rakyat Sarawak khasnya di luar bandar, GPS perlu juga menyelesaikan polemik politik berkaitan dengan PSB ini untuk kebaikan serta keharmonian kesemua parti komponen dalam GPS.

Iltizam politik yang tinggi sudah pasti dapat menyelesaikan polemik ini dan akan menunjukkan satu kepimpinan politik yang progresif.

Ini pasti akan disokong oleh rakyat Sarawak yang bersatu padu bagi memastikan negeri Bumi Kenyalang terus melangkah maju dalam era yang penuh dengan cabaran pada masa kini.

Penulis merupakan penganalisis politik serta pensyarah dalam bidang sains politik di UNIMAS.