KUCHING:  Sebanyak 199 daripada 253 mangsa kes jenayah seksual yang direkodkan  pada tahun lalu ialah kanak-kanak.

Sebanyak 58 daripada 233 suspek kes jenayah direkodkan seksual  ialah kanak-kanak, menurut Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdulllah.

“Dapatan daripada statistik ini amat membimbangkan kerana kanak-kanak bukan sahaja menjadi mangsa dalam jenayah seksual tetapi juga ialah pemangsa.

“Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) membangun satu Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak 
Dalam Daftar Kanak-Kanak sebagai salah satu usaha menangani isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dun, semalam.

“Inisiatif JKSM itu diwujudkan untuk mempertingkatkan perlindungan dan keselamatan kanak-kanak.

“Melalui sistem itu, kemudahan membuat semakan dapat disediakan kepada individu 
termasuk ibu bapa dan agensi yang mengambil kakitangan dalam sektor pekerjaan yang melibatkan kanak-kanak,” terang beliau.

Fatimah memberitahu kementerian menyedari perkara itu dan kepentingan sinergi semua pihak yang berkepentingan dalam menangani isu tersebut.

“Oleh itu, Program Kesedaran dan Advokasi Pendidikan Seksual  (KAPS) dan Randau Pembangunan Sosial (dalam bahasa Iban  Randau Pemansang Raban Bansa) bertemakan “Pembangunan  Sosial Tanggungjawab Bersama”, telah dilaksanakan bersama 
rakan-rakan strategik Kementerian,” tambahnya.

Beliau memaklumkan sebanyak 23 KAPS dan lima siri randau telah dilaksanakan sejak 2018 hingga April 2019.

“Beberapa input telah dikenalpasti sebagai sumber dan  seterusnya tindakan susulan dalam menangani isu-isu sosial di  peringkat akar umbi akan dilaksanakan,” jelasnya.