KUCHING:  Bina lebih banyak rumah kos rendah di Song.

Itu permintaan Adun Katibas Datuk Ambrose Blikau Enturan terhadap Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Beliau menjelaskan Kerajaan Sarawak memang telah membeli tapak untuk perumahan kos rendah atau sederhana di Kapit, namun tidak mencukupi.

“Jumlah rumah sedia ada yang telah dibina dan diduduki sedikit.

“Jadi, saya meminta untuk memperbanyak pembinaan rumah kos rendah di bandar Song,” katanya ketika membahas Usul Penghargaan terhadap Ucapan Yang di-Pertua Negeri di Dun, semalam.

Ujar Ambrose, banyak lot persendirian yang dijual di Song tetapi sangat terhad.

“Lot itu pula berada di atas tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) atau pertanian di mana syarat dan keperluan oleh Tanah dan Survei tidak dipatuhi kerana tanah itu masih tanah pertanian atau NCR dan belum ditukar lagi sebagai tanah kediaman.

“Oleh itu, saya meminta supaya pihak berkuasa berkenaan  melaksanakan keperluan syarat dan peraturan yang betul,” ujarnya.

Ambrose turut meminta bekalan elektrik disambungkan ke 48 buah rumah panjang di seluruh Kapit.

Beliau juga memohon SARES atau solar hibrid di beberapa kawasan terpencil di Song untuk 21 buah rumah panjang, termasuk Rumah Sanda, Rumah Joslee dan Rumah Mengkan.