KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukan RM1.5 bilion kepada Agensi Pembangunan Ulu Rajang (URDA), Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Agensi Pembangunan Wilaya Utara (NRDA) untuk membina pelbagai infrastruktur.

Menurut Menteri Muda E-dagang Sarawak YB Datuk Haji Mohd Naroden Haji Majais, peruntukan yang diberikan ini adalah untuk membina jalan raya, jambatan, bekalan air dan elektrik, kemudahan rekreasi, pembangunan ekonomi dalam sektor pertanian, penternakan, akuakultur, pelancongan dan pembangunan usahawan.

“Penubuhan ketiga-tiga agensi ini di bawah Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) adalah untuk mempercepatkan pelaksanaan projek-projek pembangunan di kawasan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui (SCORE),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng YB Dato’ Murshid Diraja Dr. Juanda Jaya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri ke 18, semalam.

Katanya lagi, setakat ini 24 projek telah diluluskan di kawasan SCORE dengan pelaburan berjumlah RM39.94 bilion yang akan mewujudkan 17,828 peluang pekerjaan.

“Daripada jumlah ini, 11 projek dengan jumlah pelaburan RM19.06 bilion telah beroperasi dan mewujudkan sebanyak 10,262 peluang pekerjaan.

“Ini tidak termasuk dua pelaburan baru yang telah diluluskan iaitu projek keluli bernilai RM17 bilion dan projek “foaming agent” bernilai RM500 juta,” ujarnya lagi.

Naroden turut mengulas bahawa SCORE telah menekankan pembangunan sumber tenaga, penyediaan infrastruktur asas dan pembangunan modal insan untuk menarik pelaburan ke kawasan SCORE.

“SCORE telah berjaya mencetuskan industri yang berintensifkan tenaga seperti ‘aluminium smelter’, aloi ferro dan silikon polikristalin,” katanya.

Beliau menambah, SCORE yang bermula pada tahun 2008 hanya meliputi kawasan seluas 70,000 kilometer persegi.

“Bermula tahun 2017, kawasan liputan SCORE telah diperluaskan kepada 100,000 kilometer persegi yang merangkumi kawasan Wilayah Tengah ke Wilayah Utara Sarawak termasuk Limbang dan Lawas.

“Bahagian Mukah adalah termasuk di dalam kawasan SCORE dimana Jemoreng terletak secara strategik di antara Mukah dan Tanjung Manis yang merupakan dua nod pertumbuhan penting SCOREyang mana Jemoreng boleh mendapat manfaat daripada pembangunan di kawasan ini,” jawabnya.

Tambahnya lagi, SCORE sekarang berada di Fasa Kedua pelaksanaan (2016-2020) dengan memberi penekanan kepada pembangunan kluster dan rantaian nilai industri serta membangunkan keupayaan penelidikan dan pembangunan.

“Kerajaan Sarawak sedang mempergiatkan usaha untuk mempromosikan SCORE kepada para pelabur daripada dalam atau luar negara dan menyediakan pelbagai infrastruktur termasuk telekomunikasi, pengurusan sisa industri dan sumber tenaga,” ujarnya lagi.

Menjawab soalan tambahan, Naroden juga menyatakan kawasan Mukah mempunyai tujuh institusi latihan untuk semua kawasan RECODA tetapi tiada di kawasan Jemoreng.

“Bagaimanapun, kementerian saya akan menyampaikan permintaan Jemoreng melalui Jabatan Ketua Menteri dan agensi yang berkaitan yang terlibat dengan latihan supaya mengkaji untuk diwujudkan institusi di kawasan Jemoreng bagi para belia pada masa akan datang.

“Industri sebegini menyediakan banyak peluang pekerjaan dalam bidang pengurusan yang professional, kumpulan sokongan teknikal,” katanya lagi.