KEMAMAN: Kegembiraan tiga beranak untuk berbuka puasa bersama ahli keluarganya yang lain bertukar duka selepas seorang dari mereka maut dalam kemalangan.

Nahas berlaku di kilometer 121, Jalan Jerangau-Jabur berhampiran Kampung Padang Kubu, Kemaman, pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu menyebabkan mangsa, Ummi Baizura Rahmat, 28 tahun maut di tempat kejadian.

Manakala suaminya, Mohd Taqqudin Ramli, 32 tahun dan anak mereka, Nurhafiya Aufa Taqqudin yang berusia dua tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketika kejadian, mangsa bersama suami dan anaknya dikatakan dalam perjalanan menuju ke rumah mertuanya di Felda Cherul untuk berbuka puasa.

Sejurus tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Honda City yang dipandu suaminya dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum terjunam ke sebuah gaung sedalam kira-kira empat meter.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke unit forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.