Tuesday, September 27, 2022

Rindu dan derita di kampung

Secara Rawak

SAYA dilahirkan di Kampung  Tellian Tengah, Mukah dan ketika berusia tujuh tahun mulai bersekolah di SK Kampung  Tellian pada tahun 1965 dan lulus Peperiksaan Common Entrance pada 1970 sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Bantuan St Patrick, Mukah mulai 1971.

Dalam peperiksaan wajib darjah enam itu,jika tidak silap saya, hanya 12 orang yang lulus daripada lebih 30 orang murid.

Sebenarnya, saya hanya dimasukkan ke dalam senarai kedua sebagai murid yang dipilih untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah.

Ketika kecil saya memang suka bermain layang-layang dan sanggup berlari tanpa kasut mengejar layang-layang yang putus talinya. Bermain layang-layang merupakan permainan yang mengasyikkan.

Jadi apabila saya tidak dipilih ke Tingkatan Satu, saya gembira! Kerana saya dapat terus main layang-layang.

Saya  mempunyai banyak kenangan suka duka, sedih dan gembira di sekolah rendah itu.

Baru-baru ini saya kembali ke sekolah itu untuk mengongsikan pengalaman dan memberi motivasi kepada murid-murid.

Masa kanak-kanak dan remaja di kampung membangkitkan keindahan dan rasa rindu. Kampung banyak mendidik kita, termasuk menyemai nilai murni.

Di sekolah itu, saya masih ingat bagaimana saya diminta oleh guru saya untuk berlari di sekeliling padang sambil disaksikan oleh murid-murid lain hanya kerana saya tidak mahu membuka baju ketika disuruh berbuat demikian apabila latihan jasmani dijalankan.

Saya bukannya keras kepala. Saya malu.  Seluruh badan saya berkurap kerana kekurangan zat makanan. Kepala saya juga berkurap.

Malangnya, guru saya tidak bertanya mengapa saya tidak mahu membuka baju saya. Kehidupan di kampung memang daif dengan makanan utama ialah sagu.

Kami sekadar hidup seadanya, dengan linut dan sagu  menjadi makanan utama. Alangkah miskin dan daifnya keadaan hidup pada 1960-an dan 1970-an.

Saya masih ingat, gaji yang saya peroleh untuk menggolek sekerat rumbia ialah 10 sen dan dalam sehari saya hanya mampu menggolek 20 kerat. Maksudnya, sepanjang hari, dari sekitar jam 7 pagi hingga 6 petang, saya hanya dapat RM2.

Kebanyakan rumah ketika itu  beratap rumbia dan tidak terdapat jalan yang elok, sementara air  minuman diambil dari sungai di dalam hutan. Kami menggunakan lampu gas untuk menerangkan rumah. Pasar raya kami ialah hutan rimba.

Ketika hendak menduduki peperiksaan awam saya dan beberapa orang teman belajar di sekolah itu menggunakan lampu minyak pada waktu malam.

Hidung saya sering dimasuki jelaga kerana menggunakan lampu tersebut. Kemiskinan memang sesuatu yang lumrah dalam kalangan penduduk kampung  ketika itu.

Kami hanya berpeluang makan kari daging lembu ketika terdapat orang meninggal dunia daripada mereka yang sedikit berada.

Bunyinya mungkin tidak masuk akal bagi generasi sekarang. Tetapi itulah hakikatnya.

Kini, keadaan memang sudah jauh berubah. Kampung mempunyai jalan berturap, bekalan elektrik 24 jam, air bersih dan kemudahan asas lain. Kadar kemiskinan sudah jauh berkurangan, dan banyak yang sudah memperoleh pelajaran tinggi.  

Taraf hidup jauh berubah dengan hampir semua rumah mempunyai kereta dan motosikal.

Sesungguhnya, bagi saya, SK Tellian mempunyai banyak kenangan.

Bagi mereka yang masih sedar akan asal usul, kampung mempunyai makna yang begitu signifikan dan sering meninggalkan sentimen dan memori yang begitu syahdu.

Namun paling menyedihkan, sudah ramai orang tua dan saudara mara sudah pergi untuk selama-lamanya. Setiap kali ke kampung, termasuk dua minggu lalu, perasaan saya menjadi sedih dan pilu bercampur nostalgik.

Bagi saya, walau sejauh mana pun saya pergi di muka bumi Tuhan ini, kampung berkenaan tetap dekat di hati saya.

Pada 2007, saya diminta berucap di hadapan murid dan ibu bapa. Ayah saya – yang kini sudah tiada –  turut hadir di majlis itu dan mendengar anaknya berucap.

Saya dapat lihat wajah bangga dan gembira beliau apabila anaknya berucap untuk pertama kali di hadapan penduduk kampung. Ketika itu, saya hampir menyiapkan PhD saya.

Justeru, saya mengambil kesempatan mengongsikan pengalaman dan kesukaran hidup saya ketika kecil di hadapan murid-murid dengan tujuan untuk memberi motivasi kepada mereka.

Ketika berucap di hadapan pelajar dan ibu bapa,  saya menegaskan bahawa kemiskinan bukan alasan untuk gagal. Sesiapa pun dapat berjaya asalkan gigih, termasuk rajin membaca.

Kemiskinan harus mengentalkan azam dan semangat untuk terus mengharungi kehidupan dengan gigih. Kesungguhan dan disiplin perlu disemai dan sentiasa dipegang dalam kehidupan. Kita perlu cekal berdepan cabaran, kesukaran dan kegetiran hidup.

Saya percaya saya diundang oleh pihak sekolah dan PIBG kerana mungkin mereka menganggap saya contoh pelajar dari kampung itu yang berjaya.

Yang mungkin mereka tidak tahu ialah saya bukanlah murid yang ‘pandai’ ketika di sekolah rendah. Disebabkan kekurangan dari semua segi, termasuk kewangan, pakaian, makanan dan sebagainya, saya kerap mendapat nombor tidak memuaskan di dalam kelas.

Apakah makna ini semua? Jangan dipandang rendah atau terus menyatakan seseorang itu sudah gelap masa depannya jika pelajarannya tidak baik di sekolah rendah.

Saya hendak menegaskan banyak rakan sekelas saya yang ‘pintar-pintar’ kecundang dalam pelajaran.

Kesusahan hidup dan kemiskinan yang menyebabkan saya sentiasa sensitif dan faham akan masalah orang miskin dan hidup dalam kedaifan.

Saya amat menghargai jasa guru sekolah saya dahulu, sebahagiannya sudah meninggal dunia, sebahagian lagi sudah begitu tua.

SK  Tellian mempunyai makna dan memberi kesan emosi yang amat mendalam kepada saya dan  rakan-rakan lain yang pernah belajar di sekolah itu.

Justeru, apabila sekolah itu tidak lagi digunakan dan dibiarkan sejak 2003 kerana kedaifannya, saya berasa pilu dan sedih. Ada semacam rasa kesal di hati saya mengenang nasib yang menimpa sekolah itu.

Namun, yang menggembirakan, sekolah baharu dijangka akan siap tidak berapa lama lagi. Saya berjanji untuk menghadiahkan buku kepada sekolah itu bagi kegunaan murid-muridnya. Saya sedar buku dapat mengubah nasib mereka.

Sesungguhnya, sebagai mantan murid sekolah itu yang  jiwanya masih melekat di kampung itu meskipun sudah lama berada di perantauan, saya ingin melihat sekolah dan kampung saya terus maju. Ya, memang benar, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat dilahirkan dan dibesarkan.

Penulis ialah pensyarah kanan dan penganalisis politik di Universiti Malaysia Sarawak.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru