Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam ialah naratif baru dibina oleh pembangkang masa kini untuk meraih sokongan rakyat khususnya masyararakat Melayu di Semenanjung Malaysia.
Pada era kekuasaan BN tidak ada pula perhimpunan mega atas nama untuk pertahan kedaulatan Islam. Kononnya, selepas PH mengambil alih kerajaan kedudukan dan kedaulatan Islam tercemar.
Kesedaran ini dicetuskan oleh UMNO dan PAS untuk membawa gelombang politik semasa agar sedar bahawa situasi politik baharu khususnya mengenai Melayu dan Islam kini dalam ancaman. Kenyataan ini diperkukuh lagi dengan kenyataan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd. Asri Zainul Abidin bahawa kedudukan Islam kini berada dalam keadaan yang tidak begitu selamat di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Mufti Perlis merupakan ahli akademik dari Universiti Sains Malaysia ini menyatakan realiti politik pada hari ini didakwanya membiarkan umat Islam dibuli. Hal ini kerana pelbagai kenyataan yang dibuat oleh yang dibuat oleh individu-individu yang berada dalam kerajaan hari ini yang menghina umat Islam dan menimbulkan ketegangan kaum, mereka hanya dipanggil untuk beri keterangan.Malah dakwanya, ramai yang menghina Nabi Muhammad dan mempersenda ajaran Islam, juga hanya dipanggil memberikan keterangan.
Disebabkan Mufti Perlis tersebut popular dan ramai pengikut di media sosial, kenyataan tersebut memberikan kesan kepada populariti Pakatan Harapan. Sehingga kini beliau tidak menarik dakwaannya tersebut.
Sekiranya tokoh berpengaruh lain turut menyatakan kenyataan yang kurang memihak kepada PH, maka lama-kelamaan populariti PH akan pudar, dan sedikit demi sedikit penyokong akan hilang keyakinan.
Naratif tersebut sekiranya terus berleluasa maka ia akan membawa kembali UMNO dan sekutunya kembali berkuasa pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Agenda pembangkang sama
Ketika BN memerintah negara gerakan sosial seperti perhimpunan Reformasi dan Bersih yang berterusan menyebabkan rasa ketidakyakinan rakyat terhadap BN merosot dan akhirnya berjaya dikalahkan. Gerakan ini berjaya menjatuhkan BN dan merampas kuasa di Putrajaya apabila pilihan raya berlangsung.
Sejarah berulang. Hanya masa dan watak yang berbeza! Ternyata Himpunan Pertahan Kedaulatan Islam ialah sebahagian usaha membentuk sebuah gerakan rakyat. Perhimpunan meraikan ‘kesyukuran’ apabila ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) berjaya ditarik balik.
Begitu juga Perhimpunan Aman Keadilan Untukmu Adib & Desakan Pecat P Waytha Moorthy yang dianjurkan Gerakan Masyarakat Malaysia (GERAS) dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain seperti Gerakan Srikandi Malaysia (GSIM), Angkatan Laksamana Bukit Jati Klang (ALBJ), Badan Amal Tarbiyah Sejagat (BATAS), Pertubuhan Ikatan Muafakat Serumpun Malaysia (SERUMPUN) dan Kebajikan Sejagat Malaysia (SEJAGAT).
Begitu gerakan NGO Pemantau Malaysia Baharu (PMB) yang merancang perhimpunan aman bagi menyatakan sokongan kepada institusi Islam dan Raja Melayu. Gerakan pernah mengumpulkan tandatangan kemudian diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V. Tindakan ini adalah satu bentuk simbolik kesetiaan yang tidak berbelah bahagi terhadap agama Islam dan Raja Melayu. Hal ini berlaku apabila bekas Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan, Datuk A. Kadir Jasin telah mengeluarkan kenyataan kontroversi berkaitan perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong dalam blog yang dikendalikannya.
Melayu, Islam dan Raja
Dengan menggunakan tiga kata kunci dan dijadikan tema dalam gerakan untuk membina naratif ketika era Pakatan Harapan ia membentuk sinergi baharu. Gerakan ini diketuai oleh Umno dan PAS, dan pertubuhan bukan kerajaan.
Walaupun terdapat isu yang dikemukakan kadangkala kurang dilihat secara menyeluruh, lebih banyak sensasi daripada realiti sebenar atau sekadar mitos perkara ini merupakan senjata besar gerakan pembangkang. Inilah titik kelemahan PH yang kebetulan kurang efisien dalam penyebaran komunikasi semasa.
UMNO misalnya dilihat parti yang mahu memelihara atau conserve nilai tradisi seperti isu nilai-nilai dan hak Kemelayuan, memelihara agama Islam dan institusi Raja-Raja Melayu. Gerakan ini dikenali gerakan konservatif. Perlu diingat bahawa istilah konservatif bukan bermaksud kolot dalam politik, sebaliknya mahu memelihara institusi sosial dalam konteks budaya dan peradaban termasuklah dalam soal hieraki, institusi agama, parlimen, hak dan menekankan kestabilan sosial dan kesinambungannya.
Gerakan kanan
Gerakan ini terus berlangsung meskipun ratifikasi ICERD dan Statut Rom telah dibatalkan. Ada dalam kalangan gerakan ini mendakwa tanpa gerakan konservatif ini ratifikasi ICERD dan Statut ROM dengan mudah akan diluluskan. Banyak lagi isu-isu yang akan menjejaskan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, Islam dan institusi Diraja Melayu dikatakan akan terjejas sekiranya pembangkang dan NGO berdiam diri.
Malah sekiranya bantahan menggunakan saluran konvensional seperti Parlimen dan media termasuk media sosial, kesannya tidak akan besar. Jadi untuk lebih popular, lebih impak, maka mereka buat tunjuk perasaan. Hakikatnya PH dulu pun gunakan Bersih untuk mendapatkan sokongan rakyat sebelum PRU14.
Justeru, platform “Melayu dan Islam terancam” mudah difahami oleh Melayu yang merupakan pengundi majoriti. Apatahlah lagi berlakunya ‘Malay Bashing’ oleh pemimpin kanan PH sebagaimana banyak dilakukan oleh Tun Mahathir. Leteran dan kritikan terhadap Melayu seolah-olah semua Melayu malas, korup, perkauman, tiada class dan labelan seumpama ini menyebabkan orang Melayu berasa terpinggir, berasa dibuli dan berasa tidak dialu-alukan atau tidak diterima menjadi bahagian daripada Malaysia Baharu.
Sedangkan pemimpin Pakatan Harapan berdiam diri dan tidak berani menegur atau menasihat Mahathir bahawa tindakan itu akan menjarakkan orang Melayu terhadap PH seterusnya menjejaskan Melayu dan bumiputera sebagai pengundi majoriti di negara ini. Sekiranya ini berlaku berterusan maka ini tidak baik untuk masa depan politik Pakatan Harapan!
Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.