KUCHING: Kerajaan Sarawak berusaha untuk menarik lebih ramai golongan belia terlibat dalam bidang pertanian disebabkan penglibatan golongan belia dalam bidang pertanian masih lagi ditahap rendah.

Menteri Muda Pertanian YB Dr Abdul Rahman Ismail berkata seramai 171,192 orang petani yang berdaftar dengan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sehingga Disember 2018 di seluruh Sarawak.

“Daripada jumlah itu, hanya 12 peratus terdiri daripada golongan belia,” katanya ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong YB Fazzrudin Abdul Rahman semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, semalam.

Sementara itu, sejumlah 5,220 orang telah mendapat bantuan daripada Jabatan Pertanian Sarawak (JPS) di seluruh Sarawak dengan nilai bantuan sebanyak RM30.8 juta.

“Daripada jumlah itu, hanya 828 orang atau 16 peratus yang terdiri daripada golongan belia. Jumlah bantuan yang diterima adalah RM6.4 juta

“Manakala, pada tahun 2019, dianggarkan 5,795 orang akan diberikan bantuan oleh JPS dengan nilai bantuan sebanyak RM34.6 juta. Dan, bagi golongan belia sasarannya seramai 1,343 orang atau 23 peratus dengan nilai bantuan RM11.6 juta

“Ini merupakan peningkatan sebanyak 7 peratus bagi golongan belia daripada tahun 2018,” tambahnya.

Mengenai soalan tambahan yang dikemukakan ADUN Tupong itu, Dr Abdul Rahman Ismail menjelaskan JPS ada menyediakan khidmat nasihat dan sokongan kepada golongan belia yang memerlukannya.

“JPS ada menyediakan bantuan seperti khidmat nasihat dan sokongan untuk pelbagai program seperti tanaman, ternakan, akuakultur dan industri asas tani.

“Permohonan ini terbuka kepada semua golongan tanpa mengira ekonomi, umur atau pendidikan mereka,” katanya.

Dalam usaha menarik lebih ramai penyertaan golongan belia, Kerajaan Sarawak telah menyediakan pelbagai jenis bantuan.

“Pertama, menyediakan latihan jangka sederhana panjang dalam tempoh satu tahun enam bulan hingga dua tahun di Institut Pertanian Semenggok.

“Kedua, menyediakan latihan jangka pendek selama tiga hari sehingga satu minggu di stesen-stesen pertanian setempat termasuk dalam bidang Teknologi dan Komunikasi Maklumat dan Industri Asas Tani.

“Ketiga, menyediakan dana khas bagi mereka yang ingin mengembangkan usaha mereka melalui dana teroka pertanian atau ‘agriculture venture capital’.

“Keempat, membangunkan model pertanian baru iaitu ‘agro park’ di samping menambah baik program sedia ada taman kekal pengeluaran makanan. Kedua-dua program ini amat sesuai untuk golongan belia.

“Manakala, kelima, memperbanyakkan program agropreneur muda,” ujarnya.

Berdasarkan jumlah peratusan bantuan kepada golongan belia 2018-2019, tanaman lada, kelapa sawit, program keusahawanan dan peliharaan kelulut merupakan program yang paling digemari belia.

“Begitu juga ialah penanaman sayur-sayuran dan tanaman kontan dengan menggunakan sistem fertigasi iaitu dengan pengaplikasikan pertanian moden seperti ‘smart and precison farming’ berasaskan penggunaan IOT.

“Program ini adalah selaras dengan hala tuju kementerian untuk memodenkan amalan pertanian yang berkualiti dan mempunyai nilai eksport,” katanya lagi.

Kerajaan berhasrat penglibatan lebih ramai golongan belia membolehkan hasrat kerajaan beranjak daripada pengimport produk berasaskan pertanian kepada pengeksport bersih produk makanan menjelang tahun 2030 akan menjadi kenyataan.