Friday, December 3, 2021

Aktiviti perladangan tidak bertindih dengan Taman Negara Gunung Mulu

Secara Rawak

KUCHING: Aktiviti perladangan yang dikatakan bertindih dengan kawasan yang telah diwartakan sebagai Taman Negara Gunung Mulu adalah tidak benar.

Menurut Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar YB Datu Haji Len Talif Salleh, Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dan beberapa agensi kerajaan yang berkaitan telah dan akan mengambil beberapa langkah untuk memastikan tapak warisan Taman Negara Gunung Mulu sebagai Tapak Warisan Dunia tidak terjejas dengan aktiviti perladangan tersebut.

“Antara langkah yang diambil ialah melakukan aktiviti pemantauan secara berterusan bagi memastikan tiada berlakunya aktiviti pencerobohan. Aktiviti ini dilakukan melalui kaedah pemantauan udara dan darat oleh Jabatan Hutan Sarawak dan Sarawak Forestry Corporation Sdn Bhd.

“Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB) juga akan mengadakan kawalan dan memastikan tindakan mitigasi dilaksanakan terhadap sebarang kesan negatif mungkin boleh menjejaskan eko-sistem Taman Negara Mulu,” katanya semasa menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lintang YB See Chee How semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Tindakan ini adalah selari dengan syarat-syarat yang terdapat dalam Laporan EIA yang diluluskan NREB.

Manakala, zon penampan berjarak tidak kurang 200 meter dari sempadan Taman Negara Gunung Mulu telah ditetapkan untuk memastikan integriti sempadan taman negara ini terpelihara daripada sebarang gangguan dan pencerobohan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru