KUCHING: Tindakan Kerajaan Persekutuan yang mahu mengemukakan Akta Profesion Guaman 2019 (Akta LPA 2019) adalah cubaan untuk menguji undang-undang Sarawak.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Sarawak YB Tan Sri James Jemut Masing, cubaan ini bertujuan untuk menguji sejauh mana Sarawak memahami hak-hak negeri ini.

“Kerajaan Persekutuan berkemungkinan mahu melihat adakah Sarawak memahami hak undang-undang negeri dan melihat sama ada peguam daripada Sarawak ini mahir dan berkualiti.

“Cara kita melihat dan melakukan perkara juga adalah berbeza.

“Misalnya, peguam daripada Semenanjung Malaysia lebih agresif, manakala peguam daripada Sarawak mempunyai pendekatan yang lembut,” katanya ketika diminta mengulas mengenai cadangan Akta LPA 2019 di Ibu Pejabat PBB Sarawak, Ahad lepas.

Menyedari perkara itu, adalah penting bagi Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk mengekal dan mengawal Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak bagi mengelak sebarang undang-undang yang boleh menjejaskan Sarawak dan haknya pada masa depan.

“Kerajaan Persekutuan boleh meluluskan apa sahaja undang-undang di Parlimen, tetapi kita ada kawalan di mana mereka perlu mendapatkan restu DUN Sarawak sebelum ia dilaksanakan,” tegasnya sambil menambah setiap apa jua keputusannya kepentingan Sarawak haruslah diutamakan.