Perjanjian Malaysia dan hak Sarawak tidak boleh dikorbankan

Perjanjian Malaysia 1963 telah menjadikan Sarawak sebagai salah satu daripada wilayah dalam Malaysia.  Maka, hak-hak dan kepentingan Sarawak sebagai sebuah wilayah yang termaktub dalam Perjanjian perlulah dipelihara.

Itulah yang ditegaskan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib dalam ucapan perasmian persidangan Dun,semalam.

“Saya gembira, pucuk kepimpinan Kerajaan Negeri mengadakan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan untuk mengembalikan hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.

Diakui bahawa banyak hak dan keistimewaan Sarawak yang terkandung dalam MA65 telah terhakis sejak lebih 50 tahun lalu, Hak berkenaan perlu dikembalikan sesuai kedudukan asal seperti pada 1963.

Justeru, seperti dijelaskan Tun Taib, rundingan mengenai hak-hak yang telah terhakis hendaklah dijalankan dengan Kerajaan Persekutuan melalui saluran yang betul.  Beberapa jawatankuasa perundingan Perjanjian ini telah dibentuk di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Jawatankuasa berkenaan perlu berunding dengan semangat tolak ansur dan profesional, yang akhirnya bertujuan untuk memastikan semua pihak berpuas hati.

Hak Sarawak tidak harus dikorbankan. Demi keharmonian hubungan kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan, soal asas ini perlu difahami.

Kerajaan tidak harus melakukannya dengan terlalu tergesa-gesa. Sebaliknya, sebarang perundingan dan perbincangan hendaklah dibuat dengan teliti. Satu daripada punca kegagalan pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat 9 April lalu ialah cara rang undang-undang itu dibentangkan, selain tidak mengambil kira aspirasi dan tuntutan rakyat Sarawak.

Sesungguhnya, jawatankuasa berkenaan merupakan landasan terbaik untuk  merunding dan mendapatkan kembali hak-hak kita.

Rakyat perlu memberi sokongan padu kepada usaha Kerajaan Sarawak itu. “Kepada rakyat semua, janganlah mengambil tindakan melulu di luar batasan undang-undang yang boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan Negeri Sarawak,” kata Taib.

Ketua Menteri dan semua pihak yang terlibat dalam rundingan ini,  sudah pasti akan terus meletakkan kepentingan Sarawak dan agenda pembangunan untuk rakyat mengatasi segala-galanya.

Itulah sebabnya 18 ahli parlimen GPS tidak mengundi. Sebanyak 138 ahli parlimen mengundi sedangkan yang diperlukan ialah 148 undi bagi mendapatkan undi majoriti dua pertiga.

Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang bermula  Isnin amat bersejarah.

Perkara berkaitan status Sarawak supaya sama taraf dengan Sabah dan Semenanjung akan dibahaskan.

Untuk itu, dua usul berkaitan Pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan akan dibentangkan dalam Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dun Ke-18.

Speakar Dun Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, usul tersebut masing-masing dibentangkan oleh Menteri Muda Undang-undang dan Pemantauan projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, manakala bagi pihak pembangkang oleh Adun Pujut Dr Tiong Tiong Choon.

Kata Asfia, apa juga perkara atau pindaan yang mempunyai kaitan dengan Sarawak mesti dibincangkan dan didebatkan di dalam Dun Sarawak terlebih dahulu sebelum dibawa ke Parlimen.

Inilah kesilapan sebelum ini. Langkah yang diambil sekarang selari dengan tuntutan Perlembagaan.

Kita tidak boleh buat kesilapan sekali lagi seperti pada 1976. Yang berlaku ketika itu, pindaan tidak terlebih dahulu dibincangkan di peringkat Dun Sarawak sedangkan langkah dan proses itu amat penting dan dituntut di bawah Perlembagaan.

Kata Asfia lagi, Dun Sarawak berpandangan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat 9 April lalu adalah sempit dan tidak mempunyai makna.

Kerajaan PH gagal mendapat majoriti dua pertiga undi di Parlimen kerana hanya 138 yang menyokong, manakala 59  ahli parlimen tidak mengundi, termasuk 18 daripada GPS.

Justeru, semua pihak tanpa mengira fahaman politik, perlu terus menyokong usaha kepemimpinan Ketua Menteri dalam rundingan untuk mengembalikan semula hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Kita perlu sama-sama melindungi dan mempertahankan hak yang sudah termaktub itu demi masa depan negeri dan anak cucu kita.