Saturday, August 20, 2022

PSC dan Perjanjian Malaysia 1963

Secara Rawak

Baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong mengumumkan akan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) untuk membincangkan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam tempoh terdekat ini.

Ini selaras dengan dengan kenyataan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad yang mahukan disegerakan penubuhan tersebut bagi memastikan  isu ini dapat diselesaikan segera. Kenyataan Tun Mahathir ini dapat dilihat pada 9 April lalu ketika beliau menggulungkan perbahasan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Mahathir terdapat keperluan untuk menubuhkan satu jawatankuasa parlimen  atau parliament select committee (PSC) untuk melihat isu mengenai pelaksanaan MA63. Berdasarkan kelaziman, jawatankuasa itu nanti akan dianggotai semua pihak termasuk ahli Parlimen pembangkang. Lazimnya terdapat  7 ahli dalam keanggotaan tersebut. Jawatankuasa tersebut sah kerana dibentuk berdasarkan Peraturan Mesyuarat 76(2) di bawah Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Penubuhan ini  merupakan bukti kerajaan Pakatan Harapan memberikan komitmen  tinggi bagi memastikan fungsi institusi Parlimen diperkukuhkan dengan lebih telus, diyakini dan mencerminkan kehendak rakyat Sabah dan Sarawak. Ia juga sejajar dengan aspirasi reformasi memperkasakan Gagasan Malaysia Baharu.

Urusan pelantikan pengerusi jawatankuasa tersebut akan diuruskan oleh Speaker Dewan Rakyat. Apabila pelantikan tersebut dibuat, maka pengerusi PSC ini akan menjadi anggota tetap Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyumbang kepada pelaksanaan MA63.

Kepentingan

Jawatankuasa Pilihan Khas berkaitan Hubungan Antara Negeri-Negeri dan Persekutuan  perlu untuk berperanan penting dalam lebih dinamik untuk melihat dan meneliti pindaan ini. Ini sebenarnya  merupakan proses biasa dalam sistem berparlimen Westminster. Saluran ini penting bagi membuat kajian, menilai, mencadangkan pembaikan atau tambah baik dan seterusnya membuat laporan.

Langkah untuk memperkukuhkan perbincangan ini  seterusnya ialah perlunya usul menyokong pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan ini. DUN Sabah baru-baru ini sudah meluluskan usul menyokong pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan  tersebut. DUN Sarawak akan dijangka akan melakukan langkah yang sama pada persidangan tersebut akan datang. Di peringkat ini wakil-wakil rakyat yang mewakili kepentingan penduduk negeri ini akan membincangkan secara lebih aktif dan memberikan pandangan mereka.

Namun alangkah baiknya sebelum dibawa ke dewan undangan negeri untuk diluluskan akan usul tersebut, ia perlulah  di buat sesi taklimat umum (Town Hall) untuk memberikan pemahamanan yang lebih baik, pencerahan dan mendapat maklum balas ramai daripada rakyat secara menyeluruh. Maka  ia menjadi sumber-sumber data yang dapat dimanfaatkan bagi pihak kerajaan dalam konteks idea-idea, pendapat, kritikan, strategi dan sebagainya diperlukan untuk memberikan yang terbaik kepada pindaan ini.

Yang terkini, difahamkan bahawa Menteri Undang-Undang juga mengambil inisiatif untuk berjumpa dengan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Openg. Tujuannya adalah untuk  memberikan penjelasan yang lebih lanjut mengenai usul pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan tersebut.

Kepentingan Pertemuan

Pertemuan ini penting  kerana apa-apa pindaan Perlembagaan ia sewajarnya untuk membaiki ke arah yang lebih baik lagi.  Sabah dan Sarawak sebahagian daripada rakyat Malaysia dan di bawah sebuah negara yang sama. Justeru, pentingnya untuk mengukuhkan sebuah  persekutuan. Usaha melakukan pindaan ini tidak boleh dilihat sebagai usaha untuk menghakiskan sebuah persekutuan. Dengan kata lain, apabila rakyat Sabah dan Sarawak berpuas hati maka kestabilan politik dan keharmonian berlaku. Fokus pembangunan ekonomi negeri Sarawak juga akan menjadi lebih baik dan terarah.

Pengumuman  pembentukan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk membincangkan pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan menandakan keterbukaan kerajaan PH terhadap kehendak Sabah dan Sarawak. Usaha bersungguh-sungguh  dibuat untuk membaiki apa-apa yang kurang dan berusaha untuk memuaskan kehendak rakyat. Ini adalah isu rakyat, kemahuan rakyat yang tidak boleh diabaikan oleh kerajaan persekutuan.

Penglibatan pelbagai pihak dalam memastikan pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan ini wajar diteliti dengan sebaik-baiknya sebelum dibentangkan di Dewan Rakyat dan diluluskan. Kesemua ini memberikan implikasi kepada perlembagaan dan negara.  Ini merupakan salah satu penyelesaian isu mengembalikan semula hak Sabah dan Sarawak. Yang penting usaha ini perlu dibuat dan melangkaui kepentingan ideologi parti masing-masing!

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru