KUCHING: Kerja-kerja pemasangan paip air di kawasan Tinjar dijangka bermula Jun depan.

Kementerian Utiliti dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak dalam kenyataan bersama menjelaskan penduduk di kawasan berkenaan akan mendapat manfaat dengan menerima bekalan air bersih dan terawat sejurus kerja-kerja penyambungan tersebut siap.

“Ketua Menteri Sarawak YAB Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg sendiri komited menjayakan projek ini dengan meluluskan suntikan dana sebanyak RM70 juta di bawah Projek Rakyat Tinjar Fasa II pada Mac lalu untuk mempercepatkan projek ini,” katanya dalam menjawab dakwaan sebuah akhbar tempatan yang menyebut beberapa buah kampung di Tinjar tidak dihubungkan dengan kemudahan paip air.

Projek Rakyat Tinja II telah dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke 11 di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk mengatasi masalah bekalan air di kawasan Tinjar.

Ia bakal melibatkan kerja-kerja penyambungan paip ke Kampung Bukit Limau, Long Tuyut dan Menok.

Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak menerusi JBALB kini sedang melaksanakan Projek Rakyat Pakej Northen Region 2 (NR2) untuk kerja-kerja penggantian paip baharu di kawasan Lapok dan Tinjar yang dimulakan pada Mac lalu dan dijangka siap awal tahun 2020.

JBALB Bahagian Miri akan membuat penghantaran air bersih dengan menggunakan lori tangki kepada pengguna di kampung-kampung yang terjejas sebagai inisiatif segera dan penduduk di kawasan tersebut juga boleh merujuk dan memohon bantuan air mineral daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyakat (JKM).

JBALB Sarawak tegas kenyataan itu lagi, amat komited untuk memastikan segala isu dan masalah bekalan air dapat diselesaikan dengan segera bagi memudahkan rakyat melakukan kerja-kerja seharian.

Sekiranya terdapat masalah gangguan bekalan air atau ada permintaan penghantaran air, orang ramai boleh terus menghubungi Pejabat JBALB Bahagian Miri di talian 085-442204.