KUCHING: Wartawan veteran Datuk Dr Chamil Wariya menasihati generasi wartawan baharu dan muda supaya komited dan bekerja keras serta mempunyai hala tuju dalam kerjaya mereka.

“Tentunya saya mahu melihat mereka berjaya suatu hari nanti kerana untuk berjaya mereka perlu berkerja keras, dan perlu bijak dengan apa jua cara apabila memasuki bidang ini,”’ kata beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Insitut Akhbar Malaysia (MPI).

“Mereka mesti ada arah, mesti ada kompas ke mana dia nak bawa bidang itu , kerana yang akhirnya yang membentuk mempengaruhi pola masa depan ialah mereka,” katanya kepada Sarawak Voice.

Bagi beliau, kewartawanan pada asasnya adalah untuk menyebarkan maklumat kepada khalayak menggunakan prinsip-prinsip tertentu.

Jelasnya: “Adanya etika yang perlu diikuti, selain kemahiran softskill dan kemahiran menulis. Mereka perlu banyak membaca dan berinteraksi. Wartawan yang baik bukan sahaja perlu banyak membaca dia perlu mempunyai banyak rangkaian sumber yang cukup luas untuk menyebar dan mendapatkan maklumat,”’ katanya lagi.

Kata Dr Chamil yang pernah bertugas di BBC London, Utusan Malaysia dan TV3, kalau boleh pada masa hadapan beliau mahu melihat wartawan ada pengkhususan tertentu seperti politik, ekonomi, bisnes, dan sebagainya.

“Ini kerana pada masa yang akan datang mungkin khalayak ingin satu laporan yang agak khusus dan mendalam,” jelasnya.

“Wartawan muda perlu banyak belajar ilmu melestarikan kemahiran penulisan, melestarikan pengetahun luar dari bidang politik, ekonomi sosial dan budaya, lagi mendalam lagi bagus, dan akhirnya mereka perlu pilih satu bidang, dan masa depan dunia kewartawan ini akan menjadi lebih niche atau khusus,”’ ujarnya.

“Selain akan ada juga kewartawanan umum , yang khusus juga sebagai satu keperluan, mereka kena betul-betul mengisi kekosongan itu,”’ katanya lagi yang mendapat PhD dalam bidang komunikasi politik dari Universiti Sains Malaysia.