KUCHING: Golongan belia diseru untuk sentiasa bersedia menghadapi halangan dan cabaran-cabaran baru yang dibawa oleh era globalisasi masa kini.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, golongan belia pasti akan berhadapan dengan pelbagai cabaran dan sekiranya tidak ditangani dengan baik ianya pasti akan merencatkan pembangunan belia.

Justeru, beliau berharap golongan belia selaku generasi pewaris dan pelapis kepimpinan negara mampu mengenal pasti cabaran utama bersesuaian dengan kehendak masa kini dan masa hadapan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perundingan Belia Peringkat Sarawak di Kuching hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru golongan belia untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti yang disediakan oleh pihak kerajaan untuk meningkatkan modal insan di kalangan mereka.