KUCHING: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri mengumumkan pemberian vaksin antirabies bakal dilakukan di 13 kawasan di bandar raya ini bermula pada 24 hingga 30 April 2019.

Dalam satu kenyataan hari ini, jabatan itu memaklumkan kawasan terbabit ialah SK Green Road, Gereja Carmelite, Pusat Komuniti Kenyalang Park, Dewan Masyarakat MBKS, Tabuan Foochow, Dewan Serba guna Kempas Height, Taman Rekreasi Tabuan Jaya dan Dewan Serba guna Kampung Tabuan Lot.

Kawasan lain lagi ialah Pondok Polis Hui Sing, Dewan Komuniti Hui Sing, Taman Daya, Taman Seng Goon dan Dewan Persatuan Masyarakat Stampin (Kampung Stutong Baru).

Pemberian vaksin antirabies yang pertama adalah di SK Green Road dan Gereja Carmelite pada 24 April dari 9 pagi hingga 6 petang.

Manakala bagi Pusat Komuniti Kenyalang Park dan Dewan Masyarakat MBKS, program itu akan diadakan pada 27 April bermula 9 pagi hingga 6 petang, manakala keesokannya di Tabuan Foochow waktu sama.

Bagi kawasan seperti Dewan Serba guna Kempas Height, Taman Rekreasi Tabuan Jaya dan Dewan Serba guna Kampung Tabuan Lot, pemberian vaksin antirabies adalah pada 29 April, mulai 9 pagi hingga 6 petang.

Sementara itu, vaksin antirabies di Pondok Polis Hui Sing, Dewan Komuniti Hui Sing, Taman Daya, Taman Seng Goon dan Dewan Persatuan Masyarakat Stampin (Kampung Stutong Baru) dijalankan pada jam 9 pagi hingga 6 petang, 30 April ini.

“Oleh itu, orang ramai dinasihati membawa haiwan peliharaan mereka terutamanya anjing bagi mendapatkan vaksin antirabies,” kata kenyataan itu.

“Ia mengambil masa sekurang-kurangnya satu bulan bagi anjing dapat dilindungi daripada rabies selepas pengambilan vaksin tersebut,” katanya.

Vaksin antirabies perlu dilakukan setiap tahun bagi mengekalkan perlindungan daripada rabies.