KAPIT: Selepas tempoh dua tahun hingga sekarang Projek Pakej Jalan Akses ke Empangan Baleh telah diuruskan dengan baik apabila mencapai 500,000 safe man-hours without Lost Time Injury (LTI) sehingga sekarang.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Datu Ir. Haji Zuraimi Haji Sabki berkata kejayaan ini dicapai di atas kecemerlangan semua pihak dengan mengutamakan keselamatan.

“Sepanjang tempoh dua tahun pelaksanaan projek ini, kemajuan fizikalnya kini melebihi 50 peratus.

“Pada tahun pertama, ada kontraktor telah mencapai 250,000 manhours without LTI iaitu pada tahun 2017.

“Sehingga hari ini, pencapaian 7 pakej projek ini telah diuruskan dengan baik dan telah mencapai 500,000 safe man-hours without LTI hingga masa ini.

“Adalah diharapkan sehingga projek ini siap yang dijangka pada tahun 2020, tiada LTI dicatat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Program 500,000 Safe Man – Hours Without LTI (Lost Time Injury) Access Road Projects To Baleh Dam di Site Office, Package A1, semalam.

Turut hadir Pengurus Wilayah JKR Tengah Cassidy anak Morris.

Mengulas lanjut, Datu Ir. Haji Zuraimi dalam masa yang sama mahu kualiti dan pengurusan projek juga diutamakan.

“Selain itu, kita juga turut mementingkan kualiti kerja, melaksanakan kerja mengikut jadual dan pengurusan projek yang baik.

“Ini penting dalam memastikan secara keseluruhannya projek ini akan dapat disiapkan dengan memuaskan,” tambahnya.

Siapnya projek ini nanti akan membolehkan jaringan perhubungan yang baik buat penduduk kampung di sepanjang kawasan terlibat.

Pada majlis itu, Datu Ir. Haji Zuraimi menyampaikan Anugerah 500,000 Safe Man – Hours Without LTI kepada 7 kontraktor antaranya SAMADO : Package A, Debessa Development : Package A2, Pekerjaan Piasau Konkerit : Package A3, Pekerjaan Piasau Konkerit : Package A5, Pekerjaan Piasau Konkerit : Package A6, Pekerjaan Piasau Konkerit : Package B3 dan SAMADO : Package C3.

Datu Ir. Haji Zuraimi bersama rombongan kemudiannya mengadakan lawatan tapak bagi meninjau sendiri Projek Pakej Jalan Akses ke Empangan Baleh sepanjang 73 km yang sehingga kini telah menunjukkan 50 peratus kemajuan fizikal.