MACHAN: Penderitaan seorang pesakit kanser otak yang menetap di Rumah Panjang Boniface dekat sini mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.50 Machan, YB Allan Siden Gramong.

Allan berkata, beliau berharap bantuan serta sumbangan kerusi roda yang diserahkan sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban ditanggung keluarga pesakit berkenaan, Jackson Gruka, 34.

“Saya juga berharap ada pihak lain menggunakan mana-mana saluran yang boleh untuk membantu pesakit dalam menghadapi penyakit yang dihidapinya,” katanya ketika ditemui, Sabtu lepas.

Sementara itu, beliau juga merakamkan penghargaan kepada mana-mana pihak yang telah menghulurkan sumbangan bagi membantu pesakit tersebut.

“Namun, ahli keluarga berkenaan masih memerlukan sumbangan derma orang ramai untuk menampung keperluan pesakit kerana mereka tidak mempunyai sumber pendapatan tetap,” ujarnya.