KABONG: Pada petang ambang sambutan Malam Nisfu Syaaban (15 Syaaban) yakni 15 hari menjelang Ramadan tahun ini, seorang pekebun dikejutkan dengan kehadiran Gadis Manis Kembar Siam yang muncul di kebunnya.

Ismawi Mahrip, 53, atau lebih mesra dipanggil Mawi begitu teruja menceritakan pengalaman yang dialaminya berlaku di kawasan kebunnya di Binyok Empayang dekat sini.

Kata Mawi, kemunculan Gadis Manis Kembar Siam disedari ketika dia sedang asyik memunggut hasil tanaman tembikai dan secara tidak sengaja terserempak dengan kehadirannya.

Gadis Manis Kembar Siam adalah buah tembikai yang berkembar daripada biji benih jenis Gadis Manis yang ditanam Mawi membesar dalam keadaan luar biasa iaitu kembar Siam di atas batas tembikainya.

Penemuan terbaharunya itu terjadi ketika dia sibuk memetik tembikai kira-kira jam 5. 30 petang. Mawi pada petang itu terpaksa melakukan kerja dengan pantas kerana dia selepas itu hendak ke masjid bagi sama-sama mengimrahkan sambutan Malam Nisfu Syaaban di masjid.

Kebun tembikainya di kawasan Binyok Empayang merupakan lokasi yang sama kemunculan buah tembikai aneh sedemikian pada kali pertama dialami Mawi kira-kira sepuluh tahun yang lalu.

Buah tembikai Gadis Manis Kembar Siam itu kemudian dipetiknya dan dibawa pulang ke pondok dan apabila ditimbang beratnya adalah 2.8 kilogram. Kembar tak seiras itu dengan saiz berbeza seperti satu pasangan. Jika kembar itu diletakkan dalam posisi tegak ia seperti membentuk angka lapan.

Jelas Mawi, berdasarkan pengalaman pertama sewaktu menjumpai tembikai kembar Siam itu sebelum ini, Mawi menyifatkan ia membawa petanda bahawa tanaman tembikai yang diusahakan tahun ini akan menjadi dan mengeluarkan hasil yang banyak.

Untuk tuaian pertama hasil tembikai Mawi pada kali ini kebunnya mengeluarkan sekitar dua ribu kilogram. Dan tuaian kali kedua di kebunnya tembikainya akan dilakukan pada Jumaat ini. Mawi menjangkan hasil tuaiannya akan lebih banyak.

Buah tembikai Mawi memang cukup terkenal di kawasan Kabong. Kualiti buahnya bagus dan hasil tuaian sudah ada pemborong yang sedia untuk membeli bagi dipasarkan di pasar raya berdekatan. Sekilogram biasanya buah tembikai Mawi akan dibeli secara borong dengan harga RM1. 40 sekilogram oleh pemborong terlibat.

Namun jika dijual secara runcit untuk kawasan sekitar dia menjualnya dengan harga RM1. 80 sekilogram.

Menurut Mawi penemuan tembikai kembar Siam merupakan sesuatu yang jarang terjadi sepanjang penglibatannya dalam bidang tersebut sejak lebih 40 tahun lalu. Dan kemunculanya dianggapnya sebagai suatu yang istimewa.