MUKAH: Sekali lagi masyarakat Melanau mengadakan kaul.

Upacara kaul yang mempunyai signifikan tersendiri ialah Kaul Serahang Kakan.

Kaul Seraheng Kakan atau upacara kaul adat bakal diadakan pada 27 April di jeti Kampung Tellian Tengah di  Mukah.

Eduine Kusai daripada Jawatankuasa Tetep Kaul Asel (JkTeKA) berkata, acara yang akan diadakan pada Sabtu ini bermula jam enam pagi.

“Semua bot dan orang ramai yang ingin menyertai bot rombongan pembawa dan pengiring Seraheng Kakan diminta berkumpul di jeti kaul Osman Kudat di Kampung Tellian Tengah pada jam enam pagi.

“Kira-kira jam tujuh pagi, rombongan bertolak, menyusuri Sungai Tellian menuju ke Batang Mukah dan penghakiman pertandingan bot berhias akan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Menurut Eduine, rombongan dijangka tiba di Tapak Kaul Seraheng Kakan pada jam lapan pagi sebelum disusuli dengan penyempurnaan upacara tradisi oleh Bapak Kaul pada jam 8.30 pagi.

Manakala, kira-kira jam sembilan pagi perjamuan terbuka (Keman Kaul) berlangsung bersama dengan persembahan tarian dan mengalai, upacara itu dijangka selesai jam 10 pagi.

“Sesuai dengan amanah atas nama kelangsungan warisan, kami tidak menjanjikan apa-apa kelainan seperti yang diharapkan oleh sebilangan pengunjung dalam Pesta Kaul Mukah yang berlangsung di Pantai Kala Dana dengan kugiran anekarama, ratu atas ratu, tari melangkau seni, busana melangkau pusaka, pameran saban tahun pinjam pinjaman, niaga jual beli dan sebagainya. 

“Kaul Seraheng Kakan akan dijalankan mengikut lunas-lunas sandaran adat walaupun mungkin lebih merupakan sekadar simbolik lestari budaya warisan zaman,” jelasnya.

Justeru katanya, semua warga Mukah, pengunjung dari luar Mukah dialu-alukan untuk  hadir bersama-sama memeriahkan upacara tersebut. 

“Memandangkan upacara ini masih mengekalkan nilai-nilai tradisi, beberapa larangan- larangan hendaklah dipatuhi seperti dilarang membawa makanan berdarah (daging), telur dan buah pisang,” ujarnya.

Larangan seterusnya kata Eduine ialah semua bot yang menyertai rombongan dilarang memintas bot utama pembawa Seraheng Kakan; tidak dibenarkan membawa, memakai, mengibar atau memaparkan sebarang simbol yang berunsurkan politik, baik pada bot, pakaian, bendera atau apa-apa yang berkaitan sepanjang upacara.

Tempoh pantang kaul berkuatkuasa sehingga terbenamnya matahari pada hari berkenaan, terutamanya kepada mereka yang terlibat secara langsung. 

“Pematuhan kepada pantang ini adalah terserah kepada individu berkenaan dan pihak JkTeKA tidak bertanggungjawab ke atas apa-apa implikasi yang mungkin timbul daripadanya,” kata Eduine

Sehubungan itu, pengumuman dan pemakluman Kaul Seraheng Kakan akan dititirkan pada 25 April ini sepanjang Sungai Tellian dan mengelilingi Kampung Tellian. 

“Suka diingatkan bahawa titir canang ini adalah titir beradat dan tidak boleh dipermainkan dengan kuasa menjatuhkan hukuman bagi sebarang dakwaan berkaitan adalah di bawah bidang kuasa Tua Kampung menurut Undang-Undang Adat Kampung Tellian,” ujarnya.

Beliau menambah, undangan dan jemputan pula adalah atas dasar perpaduan dan pernyatuan warga Melanau khasnya dan warga Mukah amnya serta semua pengunjung tanpa mengira batas kaum, agama, fahaman politik dan sebarang perbezaan yang mungkin wujud. 

“Pihak JkTeKA amat berharap agar hasrat murni yang menganjurkan keharmonian lewat perpaduan ini akan lebih dihargai, dihayati dan dimengerti. 

“Berkongsilah rezeki sesama dalam konteks mengembalikan kepada alam apa yang telah diterima daripada alam, walaupun dalam kuantiti yang sangat sedikit,” katanya.