MIRI: Tindakan 19 Ahli Parlimen dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang tidak mengundi pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat pada 9 April lepas disebabkan mengutamakan hak dan kepentingan Sarawak.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pendirian Ahli Parlimen GPS itu lebih terarah kepada mengutamakan hak dan kepentingan Sarawak.

“Keputusan 19 Ahli Parlimen GPS tidak mengundi dalam pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat pada 9 April lepas semata-mata mahu mengutamakan hak dan kepentingan Sarawak, dan bukannya seperti didakwa pemipim Pakatan Harapan (PH).

“Kerajaan Sarawak mahu pindaan itu mengambil kira Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi roh sebenar kepada pembentukan Malaysia.

“GPS akan terus mempertahankan dan memperjuangkan hak-hak Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Pelancaran Gabungan Parti Sarawak GPS Zon 13B Miri di Eastwood Valley, semalam.

Jelas Ketua Menteri lagi, tindakan Ahli Parlimen GPS ini adalah suatu langkah yang telah difikirkan dari sudut perundangan dan kesan ke atas Sarawak dalam jangka panjang jika pindaan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya percaya generasi akan datang tidak akan menyalahkan GPS jika sekiranya GPS berada di landasan yang betul dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Sarawak seperti yang dilakukan pada hari ini,” tambahnya.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Sarawak YB Datuk Amar Douglas Ugah Embas, Timbalan Ketua Menteri Sarawak YB Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak YB Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Merangkap Presiden SUPP Sarawak YB Datuk Dr Sim Kui Hian, Ahli Parlimen Bintulu Merangkap Presiden PDP Sarawak YB Datuk Seri Tiong King Sing, wakil Presiden PRS yang juga Ketua Wanita PRS Dato’ Doris Sophia anak Brodie, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin YB Datuk Lee Kim Shin dan ADUN Piasau merangkap Setiausaha SUPP Sarawak YB Dato Sebastian Ting.