KUCHING: Ada apa dengan rakyat Sarawak?

Tidak membaca dan mendengarkah mereka kisah banyak orang kena tipu melalui Macau Scam sehingga kerugian beratus-ratus tibu ringgit?

Meskipun puluhan berita dan laporan berkenaan didedahkan sebelum ini, bagai tiada kesudahan bagi kes kena tipu.

Terbaharu, seorang penyelia syarikat di Bintulu kehilangan wang simpanan RM30,000 setelah diperdaya seorang lelaki yang menyamar sebagai sarjan polis Jumaat lalu.

Gambar fail

“Mangsa berusia 43 tahun menerima panggilan telefon mendakwa dia dari sebuah bank di Semenanjung,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Supt Mustafa Kamal Gani.

Jelasnya, mangsa dimaklumkan ada pihak menggunakan kad kredit sebuah bank di Johor.

“Mangsa kemudian disambung ke telefon sarjan yang memintanya membuat laporan polis,” jelasnya.

Ironinya, mangsa diminta membuat laporan polis melalui telefon.

“Kemudian mangsa diarahkan memindahkan wang berjumlah RM29,999 ke satu akaun bank atas nama individu yang tidak dikenali,” katanya.

“Mangsa diarah membuang resit transaksi dan tidak dibenarkan memeriksa akaunnya sehingga 23 April depan supaya tidak mengganggu siasatan,” katanya lagi.