JAKARTA: Penyandang Joko Widodo atau Jokowi  hampir pasti mempertahankan kerusi Presiden apabila diisytiharkan mendahului lawannya Prabowo Subianto melalui hitungan cepat.

Pelantikan rasmi Presiden dan Naib Presiden dijadualkan pada 20 Okt  untuk tempoh 2019-2024.

Jokowi  menjelaskan sudah menerima ba­nyak ucapan tahniah daripada para pemimpin dunia atas kemenangan dalam pilihan raya Presiden (Pilpres).

“Tetapi kita tetap tunggu keputusan rasmi KPU,” katanya.

Berdasarkan hitung cepat Indikator, gandingan Jokowi bersama calon Wakil Presiden atau Cawapres (Naib Presiden), Ma’ruf Amin meraih 53.9 peratus berbanding gandi­ngan Prabowo dan Sandiaga Uno, 46.1 peratus.

Malah, hasil hitung cepat sembilan lagi lembaga survei mengumumkan Jokowi-Ma’ruf memperoleh sekitar 53-55 peratus undi.

Gandingan lawannya Prabowo-Sandiaga meraih sekitar 44-46 peratus undi.

Pada Pilpres 2014, hasil hitung cepat daripada beberapa lembaga survei menunjukkan gandingan Jokowi-Jusuf Kalla mendahului dengan 52-53 peratus.

Angka itu tidak jauh berbeza daripada hasil laporan rasmi KPU, 53.1 peratus.

Namun, kubu Prabowo segera menolak hasil hitung cepat yang memihak kepada Jokowi-Ma’ruf  meskipun rata-rata hasil hitung cepat dan dapatan lembaga survei mendapati Jokowo memenangi pemilihan  pada 17 April lalu.

Prabowo mendakwa malah mengumumkan kemenangannya sebesar 62 peratus.

Keputusan rasmi dijangka diumumkan pada 22 Mei nanti.

Prabowo pada Jumaat lalu mengecam lembaga survei sebagai tidak boleh dipercayai dan mengatakan mereka harus berpindah ke Antartika supaya dapat ‘berbohong kepada penguin’.

“Rakyat Indonesia tidak mempercayainya. Mungkin mereka boleh berpindah ke Antartika, boleh berbohong kepada penguin,” katanya di Jakarta.